Pages

Jun 08, 2021

Cikgu Murni, Nasib Labu Labi



Mari kita mengimbau sedikit mana datangnya Cikgu Murni yang terkenal dalam filem Nasib Labu Labi. Menurut artikel Berita Harian pada tahun 1962, Siti Murni binti Ismail atau lebih dikenali dengan Murni Sarawak ditawarkan untuk mengikat kontrak bersama Malay Film Production ketika berusia 16 tahun.


Murni Sarawak dilahirkan di Singapura pada tahun 1946 adalah anak sulong kepada Siput Sarawak bersama Biduan Ismail Kassim. Filem pertama beliau selepas mengikat kontrak adalah NORLELA (1962) bersama hero Aziz Jaafar dibawah arahan Dhiresh Ghosh. Pada usia 16 tahun ini, Murni sudahpun berumahtangga dengan seorang krew studio Cathay bernama Abdullah, kemudian menjadi pelakon bernama Dollah Dagang.

Murni Sarawak sebenarnya sudah mula berlakon seawal usia 10 tahun bersama ibunya Siput didalam filem PENCHURI (1956) terbitan Cathay-Keris. Beliau juga sering menjadi pelakon tambahan menjadi penari dan dayang istana. Antara filem filem yang turut menampilkan beliau seperti DANDAN SETIA, SI TANGGANG, LUBALANG DAIK, SITI MUSLIHAT, BATU DURHAKA, SULTAN MAHMOOD MANGKAT DI-JULANG, HANG JEBAT, YATIM MUSTAPHA, JALAK LENTENG, DANG ANOM, MATA SHAITAN dan LANCHANG KUNING.


Sinonim dengan nama panggilan Sarawak seperti ibunya Siput Sarawak & datuknya Dollah Sarawak, Murni kekal nama sebagai MURNI SARAWAK bersama adiknya ANITA Sarawak.


Di Studio Shaw (Malay Film Production), selepas filem NORLELA(1962) Murni Sarawak membintangi filem NERACHA (1962) bersama hero Jins Shamsudin arahan Diresh Ghosh. Akhirnya P.Ramlee telah mengangkat beliau apabila muncul sebagai watak paling diingati sehingga kini; CIKGU MURNI dalam filem NASIB LABU LABI(1963). Nama Cikgu Murni menjadi sangat terkenal ketika itu, namun Murni dikatakan telah menghilangkan diri dunia seni apabila bercerai dengan Dollah Dagang.

Beliau dikatakan berkahwin dengan seorang pemuda Indonesia dan mengambil keputusan untuk mengikut pulang ke kampung halaman suaminya. Dikhabarkan Murni Sarawak telah menghembuskan nafas terakhir pada bulan April tahun 2016 ketika berusia 70 tahun akibat penyakit barah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehah~ Alfatihah buat Siti Murni Ismail@ Murni Sarawak (1946-2016).

Rujukan:
Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
Berita Harian 1962

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!