Di setiap rezeki yang Allah berikan kepada kita ada bahagian rezeki orang lain.
Sesungguhnya Allah meluaskan dan menyempitkan sebahagian rezeki hamba-Nya.
Allah SWT berfirman:
Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya. (Saba: 39)
Ketika kita dianugerahkan rezeki, kita harus ingat ianya amanah Allah kepada kita. Ada orang yang hari ini masih lagi dilapangkan rezeki baginya walaupun berhadapan dengan suasana PKP.
Bersyukurlah dengan anugerah rezeki yang dimiliki. Berusahalah menjadi pemberi dan penyumbang kepada orang yang memerlukan.
Rezeki yang kita peroleh di dunia akan menjadi hujah kita di akhirat kelak. Sama ada ia menyelamatkan kita atau sebaliknya.
Ketahuilah kita bahawa Allah menjanjikan gantian yang lebih baik dari apa yang kita berikan.
Kita perlu ingat bahawa rezeki yang kita milik tersebut bukan hak mutlak kita, di dalamnya ada hak orang lain. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian (orang miskin yang tidak meminta-minta kerana menjaga maruah diri) (Az-Zariyat: 19)
Orang yang bertakwa sentiasa taat dalam melaksanakan perintah Allah. Mereka sentiasa menyedari bahawa pada harta benda yang mereka miliki ada hak yang mesti dikeluarkan, baik berupa zakat mahupun sedekah. Sama ada untuk orang miskin yang meminta bantuan juga orang miskin yang tidak menghulurkan tangan untuk meminta kepada orang lain.
Duit yang berada di dalam dompet kita, belum tentu milik kita sepenuhnya. Apabila dibelanjakan, ia akan habis dan tidak memberikan pulangan sama ada di dunia atau saham untuk akhirat. Namun, duit atau harta yang kita sedekahkan sudah pasti akan menjadi saham dan kepunyaan kita di akhirat.
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!