Bahaya berbuka dengan rokok. Rupanya kesannya pada tubuh waktu itu lebih dahsyat
TENTU biasa kita melihat golongan perokok yang merokok sebaik masuk waktu berbuka puasa bukan?
Terlihat benar kepuasan dapat melakukan aktiviti itu selepas seharian terpaksa berlapar dan dahaga, selain menahan diri daripada menyedut asap rokok.
Ya, secara luarannya memang tergambar kepuasan dan ketenangan dalam diri perokok terutamanya yang tegar berkenaan. Namun begitu, tahukah anda duhai perokok sekalian apa berlaku dalam sistem dalaman anda?
Menurut Public Health Malaysia (PHM), merokok sebaik sahaja berbuka puasa menyebabkan satu kejutan yang ‘maha dahsyat’ kepada tubuh.
“Manakan tidak, selepas berpuasa selama 12 jam, tubuh badan memerlukan air, glukosa (gula) dan oksigen untuk menghasilkan tenaga.
“Kesan asap rokok yang masuk ke dalam tubuh individu selepas berpuasa menyebabkan saluran darah mengecut dan menganggu saliran oksigen di dalam salur darah!
“Asap rokok juga menyebabkan darah menjadi lebih pekat, meningkatkan tekanan darah dan menganggu degupan jantung.
“Situasi ini menyebabkan risiko serangan jantung dan stroke meningkat berkali ganda!,” kongsi PHM dalam laman Facebooknya yang mendapat pelbagai respons positif netizen. Tidak kurang juga yang sinis di ruangan komennya.
Kesan positif puasa
Dalam pada itu, PHM berkongsi kesan positif berpuasa yang dikatakan telah terbukti mampu memberi pelbagai kesan positif kepada fisiologi dan metabolisme tubuh.
“Mengapa sia-siakan usaha berpuasa sepanjang hari dengan mengambil sesuatu yang menjahanamkan tubuh?
“Bulan Ramadan merupakan antara tempoh terbaik untuk berhenti merokok. Kunjungi Klinik Berhenti Merokok untuk bantuan dan sokongan,” kongsi PHM lagi.
Sebenarnya pelbagai kempen tentang keburukan rokok sejak dahulu lagi telah dimulakan. Ironinya, biarpun semakin meningkat saranan dan nasihat diberikan, semakin ramai pula perokok yang tegar.
Anda bagaimana? Sayangilah diri dan keluarga anda. Ambillah keberkatan bulan yang mulia ini untuk menghentikan perbuatan yang sia-sia.
Banyak-banyakkan berdoa dapat berhenti merokok. Ingatlah keluarga anda yang tersayang… -AG #PastiAdaSinar
Sumber : SinarPlus
Jauhi rokok ☺️
BalasPadam