Malah situasi ini boleh bertukar kritikal sehinggakan tindakan menyuruh pesakit yang mengalami masalah hilang selera makan untuk menjamah hidangan menjadi tugasan paling sukar sedangkan nafsu makan adalah lumrah setiap manusia.
Masalah hilang selera makan adalah situasi kurangnya pengambilan makanan gara-gara tiada keinginan untuk menjamu selera berdasarkan beberapa faktor tertentu.
Pegawai pemakanan, Nor Fazilah Mohd Bajuri berkata, masalah hilang selera makan dipengaruhi beberapa perkara yang merangkumi aspek fizikal, tahap kesihatan individu, status mental dan usia.
“Faktor fizikal merujuk kepada anggota badan individu termasuk masalah gigi, tekak berasa kering, esofogus, luka di bahagian usus atau perut hingga membuatkan pesakit ini sukar untuk mengambil makanan.
“Keadaan ini membuatkan pesakit tidak dapat menikmati sajian kegemaran dan menyumbang kepada isu hilang selera makan.
“Bagi kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit berlainan, tahap kesihatan membuatkan ketidakselesaan untuk mereka mengambil makanan terutama yang mengalami masalah di bahagian saluran pemakanan seperti radang usus kronik (kolitis ulseratif) dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).
“Selain itu, pengambilan ubatan memberi kesan sampingan apabila pesakit tidak dapat menikmati rasa sebenar makanan kegemaran, secara tidak langsung mengurangkan selera makan.
“Status kesihatan mental seperti kemurungan, kesedihan dan kebimbangan melampau turut membuatkan seseorang itu hilang selera makan.
“Peningkatan usia seiring dengan keadaan fizikal dan dalaman turut terjejas, seperti penurunan sistem penghadaman, sensitif terhadap makanan kegemaran serta kesihatan oral yang kurang baik.
“Warga emas juga terdedah dengan penyakit dementia dan kecelaruan minda, situasi ini membuatkan mereka kadangkala terlupa untuk mengambil makanan mengikut rutin seharusnya.
“Ada segelintir warga emas juga berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan mentah, seterusnya tidak memasak terutama mereka yang tinggal sendirian tanpa pasangan, anak ataupun pembantu,” katanya ketika ditemui.
Jelasnya, bagi pesakit kanser, penyakit paru-paru, kegagalan jantung, ginjal dan hati, penyakit sendi (arthritis reumatoid) serta AIDS memerlukan banyak tenaga demi mengukuhkan sistem pertahanan diri. Jadi mereka seharusnya mengambil makanan bernutrisi secara konsisten, namun golongan ini juga antara berisiko berdepan masalah hilang selera makan.
Menurut Nor Fazilah, selain ibu hamil mengalami loya dan muntah, sementara masalah hilang selera makan boleh disebabkan penyakit akut (singkat tempohnya) seperti demam denggi, batuk bermusim, taun dan cirit-birit yang selalunya berlaku antara satu minggu hingga sebulan.
Menyentuh kaedah rawatan hilang selera makan, beliau berkata, mengenal pasti punca utama berlakunya hilang selera makan adalah langkah penting.
“Sebagai contoh, individu mempunyai masalah oral seperti gigi rosak dan penggunaan gigi palsu tidak bersesuaian menyebabkan pemilihan makanan menjadi terhad. Jadi, rawatan terbaik perlu bagi menyelesaikan masalah pesakit.
“Inisiatif memberi kesedaran dan galakan untuk mengambil makanan secara konsisten perlu dilaksanakan dengan menjadikan waktu makan sebagai aktiviti menyeronokkan, mungkin ia boleh dilakukan di taman secara berkelah beramai-ramai.
“Bagi membantu pesakit hilang selera makan, pelan pemakanan dicadangkan adalah diet pemakanan tinggi kalori merangkumi makanan mahupun minuman bagi mencapai indeks jisim tubuh (BMI) individu.
“Sebagai contoh, makanan bersantan dan berkanji bagi sumber karbohidrat, mentega dan minyak (lemak) dan susu (protein). Manakala, sayuran pula disarankan sayuran hijau yang mengandungi vitamin A, B, C dan D.
“Pengambilan buahan mengandungi sumber air tinggi seperti tembikai, pisang dan betik turut digalakkan berbanding buahan berbiji seperti buah mata kucing,” katanya.
Menurutnya, warga emas mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kekurangan vitamin dan mineral, ia mendedahkan mereka kepada beberapa jenis penyakit terutama gastrik, anemia serta penyakit tulang.
Justeru, dalam pelan pemakanan warga emas disarankan mengambil vitamin dan mineral mengikut Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia seperti vitamin A dan C, kalsium, asid folik, zat besi dan zink.
Nor Fazilah berkata, masalah ini boleh dibantu melalui pengambilan makanan dengan kekerapan tiga kali sehari dengan kuantiti sedikit dan berjadual.
Jelasnya, proses pencernaan makanan berlaku setiap empat jam dan jika perut kosong, ia akan menghasilkan jus pencernaan dengan nilai pH yang sangat berasid berupaya menghakis lapisan perut hingga membentuk ulser.
“Selain itu, pengambilan makanan berserat sekurang-kurangnya 25 hingga 30 gram sehari bagi membantu proses penghadaman turut diambil kira.
“Ini kerana serat larut mampu mengurangkan paras kolesterol dalam darah yang terhasil daripada perkumuhan asid hempedu. Serat larut mengikat asid hempedu seterusnya membawa keluar kolesterol daripada badan.
“Manakala serat tidak larut pula mengandungi enzim pencernaan yang menjadikan sistem tubuh lebih efektif untuk memproses makanan, melembutkan najis dan mencegah masalah sembelit,” terangnya.
Katanya, pengambilan air sekurang-kurang 1.5 hingga dua liter sehari turut membantu proses penghadaman, penyerapan, peredaran (darah mengandungi 80 peratus air) atau perkumuhan (air kencing mengandungi 97 peratus air) dan mengawal suhu badan, berfungsi sebagai pelincir sendi dan organ dalaman.
Cadangan penyediaan makanan bagi warga emas hilang selera makan:
1. Pilih buahan segar, bertekstur lembut seperti betik dan pisang. Jus buah dan buah dalam tin yang lembut adalah alternatif yang baik.
2. Cincang halus sayuran atau lecekkannya.
3. Gantikan pilihan daging yang lebih lembut seperti ikan dan ayam. Cincang atau kisar daging hingga halus supaya ia mudah dimasak dan dimakan.
4. Lebihkan air ketika memasak nasi supaya ia lembut. Lenyekkan sekiranya perlu. Boleh juga disediakan bubur nasi atau oat sebagai pilihan.
Tip meningkatkan berat badan bagi mereka yang hilang selera makan:
1. Tingkatkan pengambil snek atau makanan berkalori tinggi seperti air krim, susu kocak, kuih-muih tempatan, pisang, keledek dan keladi goreng, sagu, bubur, bubur nasi bersama ikan, daging dan ikan bilis ditumbuk, kastard bersusu, nasi atau mi goreng dan kentang lecek bersusu.
2. Pertimbangkan pengambilan produk tinggi protein komersial seperti susu penuh krim bagi menggantikan hidangan berat ketika hilang selera makan.
3. Makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap.
4. Elakkan melangkau waktu makan walaupun anda tidak lapar.
5. Ambil sup berdaging.
6. Elakkan minum air tidak berkalori seperti air kosong secara berlebihan. Anda dinasihatkan supaya minum sedikit air semasa makan.
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.