Pages

Julai 23, 2022

Saya mahu ajar dia mengenai semangat, itu baru kawad belum lagi alam pekerjaan yang sebenar

Kuala Lumpur: "Saya mahu ajar dia mengenai semangat, itu baru kawad belum lagi alam pekerjaan yang sebenar," kata Abdul Aziz Ya'acob, 60.

Abdul Aziz tular di media sosial selepas dia mengangkat anak saudaranya Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi, 22 yang rebah pada Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains KPDNHEP di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, semalam.

Menceritakan kejadian itu, Abdul Aziz berkata, dia menghadiri perbarisan itu selepas dijemput anak saudaranya itu.

"Dia hubungi saya, memaklumkan jemputan berkenaan dan beritahu orang lain semua bawa ibu dan bapa, jadi saya takut dia kecil hati saya hadir majlis itu.

"Saya menaiki bas dari Pengkalan Kubor, Kelantan menuju ke rumah anak di Puchong, Selangor sebelum di bawa ke majlis berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, ketika perbarisan berlangsung dia ada menemui Nik Mohamad Adhar selepas habis kawad pertama.

"Saya tanya dia macam mana? Boleh tahan ke, dia maklumkan kepada saya masih boleh, sebab sebelum dia beritahu dia demam.

"Saya beritahu teruskan... kemudian apabila kawad kedua saya lihat dia jatuh, ketika itu saya tidak berfikir panjang dan terus berlari mendapatkannya sebelum memapah serta mengangkatnya.

"Saya beritahu dia, tahan sedikit lagi ini baru kawad, belum lagi alam pekerjaan yang sebenar," katanya.

Katanya, dia juga memberitahu pasukan perubatan supaya tidak mengeluarkan anak saudaranya itu dari perbarisan.

"Saya hendak ajar dia erti semangat, erti tanggungjawab. Ketika bekerja kita tidak boleh main-main, kita kena beri 100 peratus komitmen.

"Namun apabila dia jatuh sekali lagi, saya tidak memapahnya kerana risau kesihatannya, dia kemudian diusung keluar. Saya bangga dengannya," katanya.

Menurut Abdul Aziz, dia menjaga Nik Mohamad Adhar sejak berusia tiga bulan.


"Tidak ada istilah anak saudara, dia saya anggap sebagai anak saya, layanan saya berikan sama rata seperti anak-anak saya yang lain.

"Sebab itu saya ingin didik dia erti semangat, bila bekerja nanti perlu berikan manfaat kepada orang lain," katanya.

Semalam, tular kejadian seorang lelaki memeluk dan menahan badan anak saudaranya yang tumbang pada Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains KPDNHEP di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor.

Bapa saudara pemuda itu pada mulanya dilihat berlari hingga terlucut selipar untuk membantu anak saudaranya yang terhuyung-hayang ketika perbarisan.

Pemuda itu pada mulanya mampu berdiri tegak selepas dipeluk bapa saudaranya namun pengsan tidak lama selepas itu.

Sumber : MyMetro

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!