Pages

Mac 31, 2023

Berpuasa tidak solat hanya sia-sia

Apakah hukum orang yang berpuasa tetapi tidak solat?

Menurut pendapat Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi melalui kitabnya, Fatawa Muasirah: “Orang Islam dituntut melakukan semua ibadat iaitu mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji jika berkemampuan. Sesiapa yang meninggalkan salah satu ibadat ini tanpa keuzuran, dia telah melampaui batas terhadap Allah.”

Ulama Islam mengeluarkan pelbagai pendapat, sesetengahnya berpendapat kufur jika meninggalkan salah satu ibadat berkenaan.

Ada pula yang mengkafirkan orang yang meninggalkan solat dan enggan membayar zakat.

Sebahagian lain pula berpendapat, hanya orang yang meninggalkan solat sahaja menjadi kufur kerana kedudukan solat itu tinggi di dalam Islam.

Satu hadis yang diriwayatkan Muslim menjelaskan: “Di antara hamba dan kekufuran itu ialah meninggalkan solat.”

Ulama yang mengkafirkan orang meninggalkan solat dengan sengaja berpendapat bahawa puasa orang itu juga tidak diterima kerana orang kafir itu sendiri amalannya tidak diterima.

Sesetengah ulama masih lagi mengiktiraf keimanan dan keislamannya selagi orang itu masih mempercayai kebenaran Allah dan Rasul-Nya serta tidak membangkang atau mencela apa yang dibawa Rasulullah SAW.

Mereka menyifatkan orang seperti ini sebagai fasik. Mudah-mudahan pendapat itu lebih benar dan adil.

Jika dia mengurangkan sebahagian daripada ibadatnya yang wajib kerana malas atau mengikut hawa nafsu tanpa mengingkari atau mempermain-mainkannya dan dia juga melakukan ibadat lain, dia dikira Muslim yang tidak sempurna.

Imannya lemah dan jika berterusan meninggalkannya, Allah SWT tidak mensia-siakan amalan kebaikannya.

Pahala terhadap apa yang dilakukannya tetap ada, sebaliknya dia berdosa di atas ketelanjurannya itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segala urusan yang kecil mahupun yang besar adalah tertulis.” (Surah al-Qamar, ayat 53)

Dalam satu lagi Firman-Nya yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat pembalasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan menerima balasannya pula.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Berikut adalah rumusan pendapat ulama berkenaan orang yang puasa tetapi tidak solat, antaranya:

Pendapat pertama: Mereka dianggap sebagai keluar daripada Islam dan tidak sah puasa mereka.

Mereka perlu bertaubat kepada Allah SWT dan kembali mengerjakan solat. Itu pendapat mazhab Hambali dan sebahagian ulama masa kini.

Pendapat kedua: Mereka yang tidak solat tetapi berpuasa dianggap puasa mereka sah, tetapi tidak diberi pahala.

Itu pendapat kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr Ahmad Syarbashi, Dr Muhemmed al-Bakri Ismail dan lain-lain.

Hal itu kerana Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Siapa yang meninggalkan ucapan yang keji dan beramal dengannya, maka tiada keperluan bagi Allah dengan sebab dia meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kami lebih cenderung kepada pendapat mengatakan puasa seorang itu sah, tetapi tidak diberi pahala kerana menafikan rukun Islam yang sangat penting iaitu solat.

Itu sebahagian daripada Ahkam al-Siyam yang ingin dibentangkan kepada masyarakat Islam supaya ia difahami dengan jelas untuk menjadikan puasa benar-benar menepati syariat.

Sumber: Irsyad Fatwa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, MyMetro


0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!