Pages

Mac 31, 2023

Cakap baik atau diam

UMAT Islam kini diuji Allah SWT berada pada zaman fitnah yang sangat besar. Hampir setiap hari kita terdedah dan tidak terlepas daripada membicarakan perihal orang lain.

Sebagai contoh, ia boleh terjadi melalui mesej yang dihantar menerusi pelbagai saluran media sosial.

Oleh itu, kita perlu berpegang kepada peringatan Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam Surah An-Nuur, ayat 19.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”

Perbuatan seperti itu pernah dilakukan seorang wanita pada zaman Nabi SAW bernama Ummu Jamil. Dia adalah isteri kepada Abu Lahab.

Apa yang dilakukan Ummu Jamil adalah dia pergi ke tempat wanita berhimpun untuk menceritakan buruknya Nabi SAW.

Akibat perbuatan itu, Allah SWT petik namanya di dalam al-Quran iaitu Surah Al-Masad.

“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, daripada tali-tali yang dipintal.”

Kisahnya itu akan terus dibaca dan Allah SWT melaknat mereka sehingga ke hari kiamat.

Jelas kepada kita, semua kelebihan dan nikmat yang diperoleh di dunia ini boleh ‘terpadam’ akibat keceluparan lidah tak bertulang.

Lebih malang, amalan itu dilakukan sesama umat Islam. Seolah-olah perbuatan itu menjadi keseronokan apabila dapat memburukkan orang lain.

Malah, apa yang diperkatakan itu tidak diketahui sama ada ia benar atau tidak. Maka ketika itu, tanpa disedari perkara itu menjadi fitnah terhadap agama.

Nabi SAW turut menyatakan, golongan paling ramai berada di dalam neraka adalah disebabkan lidah mereka.

Atas sebab itu, Islam menggalakkan umatnya lebih banyak berdiam diri daripada banyak berkata-kata. Berdiam diri bukan bermakna mengalah atau tidak mampu melawan, tetapi mengelak berlakunya fitnah serta menyebarkan keaiban.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam...” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagaimana kita tidak suka orang lain membicarakan hal peribadi kita, begitu juga orang itu tidak suka kita bercakap hal berkaitan dirinya.

Sehubungan itu, setiap kali rasa hendak membicarakan hal keaiban orang lain, ingatlah kita turut ada aib sendiri.

Nabi SAW sangat marah kepada golongan yang membuka aib saudaranya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan membantu keperluannya. Siapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang Muslim, maka Allah menghilangkan satu kesusahan baginya daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat. Dan siapa yang menutupi (aib) seorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Riwayat Bukhari)

Kita juga perlu ingat, pahala yang kita kumpul sepanjang hidup ini tidak diketahui ia sebanyak mana.

Jika ada, sanggupkah kita lihat semua pahala itu ‘dipindahkan’ kepada orang lain yang pernah kita fitnah atau diaibkan ketika hidup di dunia ini?

Kita perlu sentiasa ingat satu hadis menyatakan mengenai golongan yang muflis pada hari akhirat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”

Sahabat Nabi menjawab: “Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun harta benda.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi ketika di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang dizalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya sudah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya ketika di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

sumber

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!