Kenderaan awam dibenar bercermin gelap mulai esok (8 Mei 2019)
PERATURAN baharu penggunaan cermin gelap diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkuatkuasa mulai esok (8 Mei 2019) - BERNAMA/Gambar hiasan
07 Mei 2019 2:08 PM
PUTRAJAYA 7 Mei - Kementerian Pengangkutan membenarkan penggunaan cermin gelap sepenuhnya pada bahagian cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta belakang kenderaan persendirian berkuat kuasa esok.
ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walau bagaimanapun kadar peratusan cermin gelap pada bahagian cermin depan kenderaan serta cermin sisi kanan dan kiri pemandu kekal seperti sedia ada.
Katanya, ia merupakan pindaan ke atas peraturan cermin gelap di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 yang turut meliputi perkhidmatan e-hailing seperti Grab.
“Sehubungan itu, mereka yang ingin menggunakan cermin lebih gelap untuk kanan dan kiri pemandu serta depan kenderaan perlu memohon kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Setiap permohonan yang dikemukakan perlu atas dua faktor seperti keselamatan dan kesihatan dengan kelulusan diambil kira melalui dua sebab berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Di bawah peraturan sedia ada menetapkan penggunaan cermin gelap depan 70 peratus, cermin sisi pemandu (50 peratus) dan cermin sisi belakang dan cermin sisi belakang penumpang (30 peratus).
Pada masa sama, Anthony berkata, kerajaan memutuskan agar bayaran fil RM5,000 akan dikenakan kepada setiap kelulusan yang ingin menggunakan cermin lebih gelap.
Katanya, setiap kelulusan yang diberikan adalah untuk tempoh dua tahun dengan pemandu hendaklah memohon semula apabila tempoh sah laku tamat.
Katanya, namun mereka terlebih dahulu perlu membayar RM50 untuk setiap permohonan.
“Kelulusan akan diputuskan oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPJ yang mengambil kira saman tertunggak dan latar belakang pemandu.
“Permohonan berdasarkan faktor kesihatan seperti penyakit kulit akan dikecualikan daripada sebarang fil dan mereka perlu dahulu mendapat pengesahan bertulis daripada pakar perubatan kerajaan,” katanya.
Menurut Anthony, pindaan peraturan yang dibuat itu menepati piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali gus akan membolehkan orang ramai menggunakan cermin lebih gelap daripada peraturan semasa khususnya kepada penumpang.
Katanya, penggunaan cermin lebih gelap di bahagian kiri dan kanan serta depan pemandu akan menyukarkan pemandangan ketika pemanduan sekali gus mendatangkan risiko ketika hujan dan waktu malam. -
UTUSAN ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!