OT Tebal, Tapi Duit Tetap Tak Pernah Cukup
Ditulis oleh #JMBELOG | Monolog Jiwa & Kehidupan
“OT hari ni tebal lah…”
Ramai orang suka cakap macam tu bila nampak kita balik lewat, kerja tak tentu masa, masuk awal dan balik hampir pagi. Macam hidup kita ni penuh duit. Macam setiap jam tambahan tu terus jadi kesenangan.
Tapi mereka tak tahu…
Laju masuk, laju juga keluar. Macam air.
Belum sempat rasa lega, duit dah mula hilang satu demi satu. Bayar bil. Isi minyak. Belanja dapur. Komitmen keluarga. Telefon. Sewa. Ubat. Dan kadang-kadang… duit habis hanya untuk bertahan sampai hujung bulan.
Orang nampak angka. Tapi mereka tak nampak penat di sebalik angka itu.
Tak nampak mata yang mengantuk masa kerja. Tak nampak badan yang sakit tapi masih paksa diri berdiri. Tak nampak hati yang sebenarnya penat hidup dalam rutin yang sama.
Ada hari kita balik kerja dengan badan terlalu letih sampai nak makan pun tak larat. Tapi esok tetap bangun semula. Tetap kerja. Tetap OT. Sebab hidup tak berhenti meminta.
Kadang-kadang kita bukan kerja lebih sebab nak mewah. Bukan sebab nak kaya.
Kita cuma takut… kalau berhenti berusaha, hidup jadi lebih susah.
Dan dalam diam, ramai sebenarnya sedang bertahan. Dengan senyuman. Dengan penat. Dengan air mata yang tak pernah orang nampak.
Jadi kalau nampak seseorang kuat bekerja sampai sanggup OT siang malam… jangan cepat cakap hidup dia senang. Kadang yang paling penat itulah yang paling banyak memendam.
“Bukan semua yang kerja lebih itu sedang mengejar kemewahan. Ada yang cuma sedang cuba bertahan daripada kesusahan.”
Untuk semua yang masih kuat bekerja walaupun penat… semoga ada hari nanti hidup mula menghadiahkan tenang, bukan sekadar letih.
#JMBELOG
0 Comments:
Catat Ulasan
“Untuk anda yang singgah… tinggalkanlah jejak, tinggalkanlah yang baik-baik, walau sekecil rasa, walau sependek kata.
Kerana setiap kehadiran itu, ada makna yang tak selalu terlihat oleh mata. Dan setiap kata yang kita tinggalkan, akan kembali kepada kita dalam bentuk yang sama.”