Tak Semua Yang Sudi Mendengar, Tahu Menjaga Cerita

Tak Semua Yang Sudi Mendengar, Tahu Menjaga Cerita

Tak Semua Yang Sudi Mendengar, Tahu Menjaga Cerita

#JMBELOG   |   Kisah Kehidupan   |   Persahabatan & Kepercayaan

Dia tahan pintu dengan tangannya.

“Eh, tak jadi nak naik ke?”

“Tak apa. Saya tertinggal barang pulak ni.”

Sebelum pintu lif tertutup, dia sempat berkata,

“Semoga urusan keluarga awak dipermudahkan.”

Aku hanya mampu senyum, tapi dalam hati aku rasa terhina.

Sebaik sahaja lif bergerak, aku terus masuk ke tandas. Tadi masa dalam kubikel, aku cuba mengingat semula dengan siapa pernah aku ceritakan semua itu.

Apa yang muncul hanya muka kawan sekerja aku yang seorang tu saja.

Minggu lepas, kami makan tengah hari di kedai bawah pejabat. Dia perasan aku langsung tak menyentuh makanan.

“Kau gaduh dengan siapa?”

“Tak ada.”

“Jangan tipu aku lah. Muka kau lain.”

Aku cuba menukar topik, tetapi dia tetap mendesak aku untuk bercerita.

“Kalau kau nak cerita, ceritalah. Aku dengar je.”

Entah kenapa, ayat itu membuatkan aku mengalah.

Aku ceritakan mak sudah dua kali menerima notis sewa. Abang pula masih belum mendapat kerja selepas diberhentikan tiga bulan lalu.

Sepanjang abang aku tak bekerja ni, setiap bulan tu aku cuba membantu. Tetapi selepas ditolak semua komitmen, duit aku sendiri hampir tak berbaki.

“Aku penat.”

Dia pegang tangan aku.

“Jangan pendam seorang-seorang.”

Sebelum kami kembali ke pejabat aku sempat berpesan supaya cerita tadi habis di situ saja.

“Tolong jangan cerita dekat sesiapa. Mak aku malu kalau orang tahu.”

Dia terus menjawab,

“Eh, mestilah. Aku bukan orang macam tu.”

Petang selepas kejadian di lif, aku menunggu sehingga orang lain pulang sebelum pergi ke mejanya.

“Kau ada cerita pasal keluarga aku dekat orang?”

Dia berhenti mengemas mejanya.

“Tak ada.”

“Jadi macam mana orang floor atas tahu hal aku?”

Wajahnya terus berubah.

Selepas beberapa saat, dia merendahkan suara.

“Aku cuma cerita dekat seorang.”

“Kenapa kau cerita? Kan dah janji?”

“Sebab dia pernah tolong carikan kerja untuk adik aku. Aku ingat mungkin dia boleh bantu abang kau.”

“Kau cerita pasal sewa rumah mak sekali tu kenapa?”

Dia diam bagai mula mencari alasan untuk selamatkan diri.

“Aku tak sebut nama kau pun.”

“Tapi dia tahu itu aku.”

“Aku cerita dekat dia seorang je.”

Aku hampir ketawa mendengar ayat itu.

Sebab minggu lepas, aku juga bercerita kepada seorang sahaja. Tapi cerita ni dah mula tersebar kat tempat kerja aku.

Dia cuba memegang lengan aku.

“Aku niat nak tolong. Serius ni.”

Aku tarik tangan perlahan-lahan.

“Aku tahu, tapi kau dah cross the line!

Aku memang tahu dia tak berniat mahu memalukan aku.

Cuma niat baiknya telah menjadikan masalah keluarga aku bahan perbualan orang yang langsung tak mengenali kami.

*****

Malam itu mak telefon.

“Kak, mak dah bayar sikit duit rumah. Jangan risau sangat.”

Aku tenung dinding lama-lama.

Mak masih cuba menjaga maruahnya di hadapan anak sendiri, sedangkan kisahnya sudah sampai kepada orang yang tak pernah pun mengenali mak dan keluarga kami.

Aku sangat kecewa dan merasa malu dengan tindakan melulu aku. Sepatutnya aku tak luahkan pada sesiapa tentang masalah aku pun.

Sejak hari itu, aku dan kawan sekerja itu masih makan bersama. Masih bergurau. Masih berbual tentang kerja.

Cuma setiap kali dia bertanya,

“Kau okay?”

Jawapan aku sentiasa sama.

“Okay.”

“Ya Allah, hadirkanlah dalam hidup kami seseorang yang bukan sekadar sudi mendengar, tetapi tahu bila sebuah cerita perlu berhenti hanya pada dirinya saja.”

Berapa banyakkah persahabatan yang mungkin masih kelihatan baik-baik sahaja selepas kepercayaan di dalamnya sudah tiada?

Kadang-kadang kita tidak perlukan seseorang yang mampu menyelesaikan semua masalah kita.

Kita cuma perlukan seseorang yang boleh mendengar tanpa menjadikan cerita kita sebagai cerita orang lain.

Sebab apabila sebuah rahsia sudah keluar daripada mulut kita, kita mungkin tidak lagi mampu mengawal ke mana ia akan pergi.

Dan yang paling menyakitkan bukanlah apabila orang tahu masalah kita.

Tetapi apabila kita sedar, orang yang kita percaya rupanya tidak tahu menjaga kepercayaan yang kita berikan.

Tak semua yang sudi mendengar, tahu menjaga cerita.

0 Comments:

Catat Ulasan