Pages

Mac 10, 2019

Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke final Kejohanan Badminton All England

Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke final Kejohanan Badminton All England

Gandingan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus mencuri tumpuan di Arena Birmingham apabila meneruskan langkahan ke final Kejohanan Badminton All England dengan cukup bergaya setelah menumbangkan pasangan nombor lapan dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Kini mereka hanya selangkah sahaja lagi untuk mengulangi kejayaan dilakar gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang muncul juara acara beregu lelaki pada tahun 2007, dengan lawan yang menanti adalah satu lagi pasangan Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

“Ia kemenangan yang cukup mengujakan, kami gembira dapat memastikan bendera Malaysia berkibar sehingga ke hari final. Kami tidak pernah terfikir akan sampai sejauh ini dan kami sudah melakukannya, kini kami akan sedaya upaya untuk tidak mengecewakan harapan semua.

“Ketika perlawanan saya beritahu Wooi Yik supaya tidak memikirkan tentang kemenangan atau mencipta sejarah, tetapi fokus kepada mendapatkan mata. Kami yakin jika kekal fokus, kami akan dapat melakukannya,” ujar Aaron selepas perlawanan.

Dalam aksi separuh akhir mendebarkan yang berlangsung hampir sejam itu, Aaron dan Wooi Yik yang menduduki ranking ke-18 dunia tewas mudah set pertama 12 21.

Namun ianya pertarungan set kedua yang menggoncang jantung peminat badminton seluruh dunia apabila mereka tampil lebih bertenaga dan beberapa kali mendahului selesa 18-14 dan 20-17, hanya untuk membenarkan Fajar-Rian  mengejar mengikat kedudukan 20-20, sebelum berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 22-20.

sumber: foxsports

Aksi set ketiga juga berlangsung sengit, dengan kedua-dua beregu saling berbalas serangan dan kejar mengejar mata, dengan kedudukan terikat 19-19 pada satu ketika sebelum Aaron-Wooi Yik memastikan kemaraan dengan kemenangan 21-19.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil di final adalah pada 2011 menerusi Kien Keat-Boon Heong namun mereka kecundang kepada pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Morgensen.

Aksi final ini juga akan menjadi peluang terbaik buat dua anak muda berusia 22 tahun itu untuk memburu gelaran sulung mereka di pentas antarabangsa selepas sekadar berpuas hati selaku naib juara dalam Kejohanan Antarabangsa India 2017, Kejohanan Antarabangsa Vietnam dan Kejohanan Antarabangsa Malaysia 2018, serta Terbuka SaarLorlux di Jerman 2018.

Sumber

1 comments:

iam.umifuzy berkata...

tahniah Malaysia

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!