Jika benar-benar kamu mahu berhijrah, berhijrah dengan dengan sebenar-benar hijrah.
SEBAGAI otai artis TV (agama), saya turut mengikuti perkembangan artis dan hiburan tanah air. Menarik sungguh perkembangannya pembuka tirai tahun 2019. Dua isu dunia artis yang hangat dibicarakan warganet dan tular.
Pertama, mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL33) yang dimenangi komposer dan penulis lirik lagu ‘Haram’ iaitu Ezra Kong. Lagu beliau dinyanyikan oleh Hael Husaini (komposer dan penulis lirik) dan Dayang Nurfaizah.
Ketika Anugerah Juara Lagu (AJL33) diumumkan, Ezra Kong naik ke pentas, penyanyi wanita lagu beliau, Dayang Nurfaizah datang menghulurkan tangan ingin bersalaman dengan Ezra Kong, tetapi ditolak dengan cara paling berhikmah oleh Ezra Kong dengan meletakkan tangan di dada.
Ketika memberikan ucapan, Ezra Kong memulakan dengan memberi salam, “Assalamualaikum” diikuti dengan salam 1Malaysia dan salam baru. Boleh dikatakan semua warganet yang belum mengenali beliau terkejut, rupa-rupanya Ezra Kong adalah seorang muslim. Sejak bila beliau memeluk Islam? Saya pun tidak tahu. Ingin sekali saya mengenalinya.
Aksi Ezra Kong mendapat pujian warganet. Antaranya oleh Lany Bakerren:
“Dalam pada artis bukan muhrim bersalam, berpegangan tangan naik ke pentas. Dia menolak pelawaan salam artis perempuan dengan sopan dengan meletak tangan di dada. Subhanallah bagusnya dia. Inilah contoh Islam yang sebenar. Tahniah@Ezra Kong!#AJL33”.
Komen saya, menolak salam tangan, bukanlah contoh Islam sebenar, masih banyak lagi, tetapi itulah tanda dan ciri ke arah kefahaman sebenar.
Lagi melucukan bila membaca dialog warganet,
Ezra Kong: Assalamualaikum
Meleis: Ezra Kong ni Islam ker? Ingatkan Cina!
Apa benda lah! Cina tu bangsa, Islam tu agama. Tolonglah jangan stereotype kan Islam tu untuk Melayu je.
Nyata sekali, kefahaman kita terhadap Islam masih cetek. Islam sebagai agama rahmahtan lil alamin, tidak dapat dibezakan dengan bangsa. Dalam segelintir orang Islam, masih berpandangan Islam itu Melayu, Melayu itu Islam. Jika ada Cina masuk Islam, maka dikatakan jadi Melayu, masuk Melayu.
Maka timbullah kata-kata “ingatkan dia Cina”. Apakah dengan memeluk Islam, hilanglah kecinaannya? Sedangkan agama dan bangsa adalah dua isu berbeza. Bangsa apapun boleh memeluk Islam, tanpa menjadi Melayu.
Kedua, tidak seperti kisah Ezra Kong, cerita sensasi Emma Maembong membuka semula tudung yang telah dipakai sebelum ini selama lima tahun turut mendapat perhatian warganet. Sudah tentu sebelum ini, apabila bertudung, seluruh peminat dan warganet bersyukur dan memuji, sebab berhijrah kepada yang lebih baik.
Namun, apabila tudung dibuka semula, reaksi warganet sudah dapat dijangkakan. Ribuan komen mengkritik dan hentam, terlampau sedikit memuji. Ini adalah perkara biasa dalam dunia artis.
Dalam memberikan respon membuka tudung, Emma Maembong berkata:
“Apa sebabnya biarlah saya sendiri yang simpan. Biarlah, ia antara saya dengan Allah. Apa yang saya boleh cakap, saya mahu jadi diri sendiri. Itu sahaja. Dalam masa sama saya tidak mahu sembunyikan kesalahan yang saya buat dengan melarikan diri.”
“Ya, saya tegaskan di sini janganlah ikut tindakan saya yang tidak baik ini. Saya akui dan tahu ia contoh yang tidak baik. Saya sudah melalui pelbagai dugaan sepanjang menjadi anak seni… dalam berpuluh-puluh ribu komen, setahu saya hanya ada empat komen yang positif… sebaliknya yang lain semua memaki hamun sehingga ada yang mendoakan saya m4ti.”
Ingin saya bertanya kepada Emma, sudah berapa lama menjadi anak seni? 10 tahun? 20 tahun? Sudah tahu tidak baik, kenapa dibuat balik? Ada artis yang seumur hidupnya menjadi anak seni, tidak pula mereka berubah-ubah. Lebih baik dia tidak bertudung sampai ke penghujung hayatnya daripada tutup buka balik.
Tindakan ini memalukan dan merosakkan imej Islam. Jika belum bersedia pakai, jangan pakai lagi. Buka… tutup… buka… hodoh sangat rupanya.
Saya sebenarnya tidak mahu komen pasal kehidupan artis, kerana kita tahu kenapa mereka mahu jadi artis. Namun, apabila mereka berubah, sudah tentu menarik perhatian. Apatah lagi setelah berubah, kembali jahil.
Kita tidak boleh salahkan netizen atau warganet. Mereka berhak memberikan pandangan orang menjadi ‘pujaan’ suatu ketika dahulu.
Sebelum ini saya ada menulis mengenai rasa muak saya dengan telatah dan tingkah laku artis yang bergelar pelakon dan penyanyi. Ada yang begitu berani melakukan maksiat secara terang-terang dengan merakam dan menghantar gambar. Ada yang lain pula, mengandung dan beranak pun nak bagi tahu orang. Apabila gambar menjadi viral, marahkan orang.
Begitu juga dengan kisah seorang artis yang menghantar gambar dia memeluk pemain bola sepak Brazil, Roberta Carlos. Sebelum ini, ada artis yang membuat pelancaran tudung dalam kelab malam The Zouk. Bila dikritik, dijawab dengan selamba, ‘aku tau apa yang aku buat’.
Hina betul orang seperti ini. Berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Yakinlah, orang sebegini, apabila menjelang usia nanti, apabila sudah tidak laku dalam dunia seni, sibuk pula mahu berhijrah dengan bertudung, kemudian berniaga tudung. Pada mereka, berhijrah itu adalah bertudung. Bertudung itu namanya hijrah. Mereka tidak faham roh bertudung dan roh menutup aurat.
Bertudung tidak semestinya menutup aurat, belum tentu berhijrah. Ada orang bertudung, tetapi pakaiannya macam sarung nangka. Sendat sana sini, tertonjol dan menonjol. Menutup auratkah kalau macam itu, jika sudah boleh nampak urat-urat? Itu masih belum berubah atau berhijrah, kerana hanya fizikal sahaja berubah, kefahaman masih belum ada. Dalam Islam, gabungan jasmani dan rohani amat penting difahami.
Wahai artis! Jika jahil mengajilah agama. Cuba fahami dan hayati sepertimana Ezra Kong. Tak malukah kita dengan Ezra Kong. Usahkan buka aurat, menolak bersalaman dengan wanita. Jika kitalah, dapat bersalaman dengan artis dan komposer, sudah tentu sangat teruja. Mungkin sampai tak tidur malam.
Apakah kita sudah lupa bagaimana anak gadis kita memeluk artis K Pop Korea yang membuat persembahan di kota raya suatu ketika dahulu?
Kepada Emma Maembong, saya yakin, apabila menjelang Ramadan nanti, pasti apabila Emma Maembong keluar berjalan, Emma pasti akan menutup kepalanya. Paling kurang dengan selendang mak indang selendang. Bulan Ramadan jadi **jahid, masuk bulan Syawal dan seterusnya, jadi **jahat.
Jika inilah pemahaman kita terhadap Islam, seolah-olah ada hari atau bulan tertentu kena jadi baik, ada bulan tertentu tidak perlu jadi baik, iaitu boleh berjahat atau bermaksiat, maka sampai bila-bila pun mereka akan berkelakuan seperti yang disebutkan di atas tadi, seperti memeluk jantan, buka… tutup… buka.
Justeru, sudah sampai masa artis-artis bertudung tidak sekadar bertudung, tetapi pada masa sama mereka perlu ada ilmu dan meningkatkan ilmu. Kena mengaji agama seperti Allahyarham Azmil Mustapha, Shamsul Ghau Ghau, Iwan dan lain-lain.
Saya cukup bimbang artis hanya bertudung untuk mencari populariti. Walhal sebenarnya mereka tidak faham roh bertudung. Bertudung sekadar fesyen untuk mencari wang tambahan bagi melariskan tudung. Tidak pasti pula saya yang membuka tudung semula mahu berniaga apa.
Jika benar-benar kamu mahu berhijrah, berhijrah dengan dengan sebenar-benar hijrah. Hayatilah penghijrahan itu melalui pembelajaran dan penghayatan ilmu. Berhijrah bukan sekadar bertudung. Bertudung itu belum tentu menutup aurat. Banyak lagi perkara yang perlu diketahui apabila bertudung, bagi menjaga maruah dan harga diri seorang muslimah.
Islam bukan agama seperti kedai kopi, boleh masuk keluar sesuka hati. Buka… tutup… buka. Ini berat namanya. Contohilah Ezra Kong, istiqamah beliau berada pada tahap tinggi. Ingin sekali saya berjumpa dengannya.
Jika diberi pilihan antara Ezra Kong dan Emma Maembong, saya pasti memilih Ezra Kong, meskipun sepatutnya saya memilih Emma Maembong sebab dia wanita, tidak sejenis saya. Cantik pulak tu. Biasalah lelaki tertarik kepada wanita.
Namun, Ezra Kong menjadi pilihan kerana ada nur Islam di wajahnya. Bukan selayaknya saya menghukum Emma Maembong. Mohon ibu bapa Emma Maembong untuk menasihati anaknya, kembalilah ke pangkal jalan, sebelum sesat di hujungnya.
sumber; www.ismaweb.net / petuadanresepibonda.com
Allahu. Mendalam.
BalasPadam