Pages

Mac 09, 2019

Laung azan 2 kali 'cari' jasad bapa

Laung azan 2 kali 'cari' jasad bapa

PASUKAN keselamatan membantu mengangkat mayat Yahaya di Bukit Cengkih. (Gambar kecil) Mohamed Rahimi melaungkan azan dua kali sebelum menemui jasad bapanya itu ketika SAR berjalan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

“USTAZ menyuruh saya (melaungkan) azan dua kali, ketika itu bau semakin kuat menusuk hidung,” kata Mohamed Rahimi Yahaya, 44.

Itu diceritakan Mohamed Rahimi kepada wartawan Harian Metro ketika mengimbas kembali penemuan mayat bapanya, Yahaya Mohamed, 80, di Bukit Cengkih, Titi Serong, Balik Pulau, semalam.

Mohamed Rahimi berkata, ketika itu dia bersama seorang ustaz dengan beberapa penduduk dan anggota pasukan keselamatan mencari bapanya yang hilang sejak Sabtu lalu.

“Ketika itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah mahu dihentikan, saya bersama ustaz terus mencari sebagai ikhtiar terakhir sebelum pulang.

“Tiba-tiba ustaz menyuruh saya berhenti (di satu lokasi di Bukit Cengkih) dan saya diminta melaungkan azan.

“Selepas dua kali azan, bau mayat tersangat kuat menusuk hidung,” katanya yang ditemui di Hospital Balik Pulau, semalam.

Menurutnya, dia yang turut dibantu pasukan penyelamat kemudian turun ke kawasan cerun kira-kira 50 meter dari laluan di lereng bukit sebelum menemui mayat bapanya itu.

“Mayat ditemui dengan kesan kepala terhantuk pada batu, kemungkinan bapa tergelincir ketika berjalan di kawasan terbabit.

“Saya percaya bapa mungkin sudah meninggal dunia sejak dua atau tiga hari lalu kerana kecederaannya itu,” katanya.

Mohamed Rahimi berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang tidak jemu membantu dalam SAR mencari bapanya.

“Ikutkan memang sedih, namun kami sekeluarga bersyukur kerana mayat bapa ditemui dalam keadaan sempurna,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Yahayaatau dikenali sebagai Cikgu Ya hilang selepas menghantar lebihan nasi untuk makanan ayam ke rumah saudara mereka di Kampung Terang.

Susulan itu, anak perempuan Cikgu Ya membuat laporan polis dan usaha mencari mangsa dijalankan sebelum Perodua Kancil miliknya ditemui di kawasan hutan Bukit Cengkih, Khamis lalu.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terang selepas solat Isyak, hari ini.

Berita berkaitan

• Mayat Cikgu Ya ditemui

• Jumpa kereta Cikgu Ya atas bukit

Sumber

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!