Jun 19, 2023

Apakah bentuk ujian yang diterima Baginda SAW?

Insan hebat di sisi Allah SWT yang diangkat namanya di dalam al-Quran, semuanya pernah merasai ujian dihina, difitnah, ditertawakan dan dikeji.

Tiada siapa suka diri diperlekehkan. Itu ragam dunia kerana dunia ini pentas ujian.

Apabila kita bersabar dan semakin dekat dengan Allah SWT, maka darjat kita akan diangkat di sisi-Nya.

Sifat dunia, semuanya bersifat sementara. Setiap kesusahan, pasti akan datang kesenangan.

Hidup berputar bagaikan roda. Selagi bernyawa, begitu putarannya. Andai kita merasakan hidup terlalu teruk diuji, mungkin itu perjalanan untuk menjadi insan hebat.

Lihat bagaimana besarnya ujian dihadapi insan semulia Rasulullah SAW saat menyampaikan Islam di Makkah.

Apakah bentuk ujian yang diterima Baginda SAW?

• Ajaran diprotes.

Bukan orang lain, bapa saudara Baginda sendiri, Abu Lahab antara tukang protes paling dahsyat.

Ketika Baginda menyampaikan dakwah secara terang-terangan kepada kaum kerabatnya, Abu Lahab menjaja pelbagai kisah penghinaan mengenai Baginda.

Protes Abu Lahab itu kononnya mewakili kaum kerabat Nabi dan mewakili masyarakat Quraisy yang digambarkan menolak ajaran berkenaan.

Kedudukan Abu Lahab sebagai pembesar Quraisy pada masa itu sangat mudah mempengaruhi setiap tetamu yang berkunjung ke Makkah.

• Sering diancam.

Wakil kaum Quraisy menggunakan insan paling kuat membela Nabi SAW iaitu Abu Talib supaya memujuk Baginda menghentikan kegiatan dakwah.

Namun, Baginda tetap komited pada tugas dakwah. Wakil Quraisy mendatangi Abu Talib sekali lagi.

Mereka menganggap Baginda mencela tuhan ukiran tangan mereka. Abu Talib diberi kata dua, sama ada menyekat dakwah itu atau menyerahkan Baginda kepada mereka.

Rentetan itu, Abu Talib cuba memujuk Baginda. Namun, Baginda menyatakan pendirian tidak meninggalkan dakwah sekalipun diletakkan matahari di tangan kanannya dan bulan
di tangan kirinya.

Abu Talib tidak terkata apa-apa lagi melainkan terus melindungi Baginda daripada sebarang ancaman.

• Sering ditohmah dan difitnah.

Baginda ditohmah sampaikan dituduh sudah gila. Allah SWT menceritakan kepada kita dalam al-Quran maksudnya: “Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): ‘Wahai orang yang kepadanya diturunkan al-Quran, sesungguhnya Engkau adalah orang gila.” (Surah Al-Hijr, ayat 6)

Bukan itu sahaja, Nabi Muhammad SAW juga dikatakan seorang ahli sihir. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tentulah mereka akan (mengingkari kenyataan yang benar itu dengan) berkata: ‘Hanya mata kami sudah disilapkan penglihatannya bahkan kami adalah kaum yang disihirkan (oleh Muhammad).” (Surah Al-Hijr, ayat 15)

Al-Quran yang diajar Baginda juga dianggap rekaan dan dicipta dengan bantuan tokoh tertentu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang kafir itu berkata: ‘(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain. Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta.” (Surah Al-Furqaan, ayat 4)

• Dipersenda serta diaibkan.

Antara tokoh di Makkah yang kuat mengaibkan keperibadian serta menjatuhkan integriti Baginda ialah Abu Jahal ‘Amru bin Hisham bin al-Mughirah, al-Nadr bin al-Harith, al-Aswad bin Abd al-Muttalib bin Asad, al-Aswad bin Abd Yaghuth bin Wahb al-Zuhri, al-As bin Wail al-Sahmi, Umayyah bin Khalaf dan Ubay bin Khalaf.

Abu Jahal pernah meminta didatangkan azab ke atasnya dengan tujuan mengejek.

Mereka mentertawakan Baginda yang pada awalnya kelihatan hanya diikuti golongan Muslim miskin dan lemah seperti Khabbab, Ammar, Suhayb al-Rumi dan Bilal al-Habashi.

Ada meminta Nabi SAW menukarkan Bukit Safa menjadi emas dan mencabarnya menghidupkan Qusay bin Kilab yang sudah mati.

Selain itu, ada meminta Baginda meratakan bukit yang mengelilingi Makkah dan menjadikannya kawasan sungai untuk bercucuk tanam.

Mereka bukan mahu beriman, tetapi untuk mempersendakan. Muhammad Abu Shuhbah mengatakan, hikmah di sebalik permintaan mereka tidak dilayan ialah kerana mereka tetap tidak beriman meskipun perkara sedemikian dibuktikan.

• Ditawarkan harta, kuasa dan wanita.

Meskipun tawaran itu menarik, namun ia satu bentuk penentangan terhadap dakwah. Ibn Kathir melaporkan, tawaran itu diajukan ‘Utbah bin Rabi’ah yang berjumpa Baginda di rumahnya.

Namun, ada riwayat lain menyebut tawaran itu diajukan al-Walid bin al-Mughirah dan al-‘As bin Wa’il.

Bagaimanapun, memperkenalkan masyarakat kepada Allah SWT lebih berharga di hati Baginda berbanding semua tawaran itu.

• Pengikut yang miskin, lemah dan berstatus hamba diseksa.

Siapa tidak sedih melihat kawan rapat diseksa. Namun, dakwah tidak terhenti kerana halangan itu.

Antara sahabat daripada golongan hamba yang diseksa ialah Bilal bin Rabah, Amir bin Fuhayrah dan ‘Ammar bin Yasir serta keluarganya.

Bilal diseksa tuannya, Umayyah bin Khalaf. Dadanya ditindih batu besar dan diletakkan di bawah terik matahari.

Keluarga ‘Ammar bin Yasir ada yang dibunuh dan dipaksa menukar penyaksian syahadahnya. Bagaimanapun, semakin diseksa, iman mereka semakin bertambah kuat.

Diboikot, bahkan seluruh Bani Hashim dan Bani Al-Mutalib turut diboikot.

Pihak Quraisy bimbang kedudukan ekonomi dan politik mereka apabila melihat kemaraan dakwah Islam semakin sukar disekat.

Bahkan, ia mula menawan hati tokoh masyarakat seperti ‘Umar al-Khattab dan Hamzah bin ‘Abd al-Mutalib.

Mereka geram apabila tidak berjaya menyekat golongan berhijrah ke Habsyah. Muhammad bin Sa’ad melaporkan, pihak Quraysh mengadakan perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad SAW.

Apabila perancangan itu sampai ke pengetahuan Abu Talib, beliau mengumpulkan Bani Hashim dan Bani ‘Abd al-Mutalib untuk mempertahankan Baginda.

Perhimpunan itu dilakukan di Shi’b Bani Hashim. Pihak Quraisy semakin geram, lantas mereka mengadakan satu perjanjian untuk memboikot keluarga Bani Hashim dan Bani ‘Abd al-Mutalib.

Dalam perjanjian itu, mereka dilarang menjalankan urusan perniagaan dengan Bani Hashim dan Bani Abd al-Mutalib.

Mereka juga dilarang mengahwini mana-mana individu daripada Bani itu dan tidak menerima sebarang bentuk perdamaian sehingga Baginda diserahkan kepada mereka.

Menurut sesetengah riwayat, perjanjian itu ditulis Mansur bin ‘Ikrimah. Ia digantung di Kaabah pada pertengahan bulan Muharam, tahun ketujuh kenabian.

Pemulauan itu dikatakan berlaku selama tiga tahun dan berakhir apabila kertas yang memuatkan isi perjanjian itu dimakan anai-anai.

Begituh hidup insan yang hebat ujiannya. Bagaimanapun, pertolongan Allah SWT yang datang juga sangat hebat. Maka, bersabar ketika dilanda musibah dan bersyukur ketika mendapat nikmat. Apabila tepat cara respon kita, semuanya menjadi indah belaka di hati. Sungguh ajaib urusan mukmin!

Penulis ialah pendakwah dan penulis buku

Sumber : myMetro

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut