Pages

Jun 29, 2023

Sue-On akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 6 Julai 2023

Tidak dinafikan naskhah bercorak seram komedi masih lagi menjadi pilihan penonton-penonton untuk menonton filem di pawagam.
Ternyata ia menjadi pilihan buat Datuk Awie selaku pemilik syarikat Rumah Produksi Merah untuk menghasilkan filem baharu berjudul Sue-On.
Awie berkata, pemilihan genre seram komedi dibuat memandangkan sekarang ini dia sememangnya sudah sinonim dengan genre sedemikian.

Sinopsis Filem Sue-On

“Ramai penonton yang kenal saya dengan filem seperti Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, malah mereka terima watak yang saya bawakan itu sedangkan sebelum itu saya bukanlah seorang pelakon komedi.
“Jadi, saya rasa perlu mengambil peluang ini untuk menghasilkan filem genre sebegini dan akhirnya terhasilnya filem Sue-On,” ujarnya.
Mengambil inspirasi kepada sebuah filem seram Jepun, Sue-On dibintangi oleh Awie sendiri, selain Reen Rahim, Ropie, Azlee Senario, Nazia Mustafar, Achey, Shawani dan ramai lagi.
Bercerita lebih lanjut mengenai filem terbaharu terbitannya itu, Awie memberitahu, Sue-On adalah sebuah filem yang cukup santai dan sarat dengan elemen-elemen komedi yang menghiburkan.
Dalam pada itu, ujarnya lagi sebagai seorang penerbit, dia meletakkan harapan agar filem Sue-On ini dapat menambat hati penonton.
“Selain saya, mereka yang terlibat dalam filem ini termasuk pengarah, pelakon dan kru juga pasti mahu melihat kejayaan filem ini.
“Jika filem Sue-On ini mendapat sambutan yang baik, ia akan memberi peluang kepada saya untuk menerbitkan lebih banyak filem pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Razif Ajiboy Rashid selaku pengarah berkata, dia menjadikan arwah Mamat Khalid sebagai inspirasi untuk dia menghasilkan filem Sue-On ini.
Menganggap Allahyarham sebagai ‘sifu’ dalam bidang pengarahan, tidak dinafikan dia banyak menjadikan filem-filem arahan Mamat Khalid sebagai rujukan.
“Saya banyak membesar dengan filem-filem beliau. Malah, saya mengenali dunia filem secara lebih mendalam pun daripada beliau,” ujarnya.
Razif berkata, penggambaran filem berkenaan dilakukan pada November hingga Disember 2021 di Taiping, Perak.
Dalam pada itu, Razif juga mengakui dia tidak dapat lari daripada cabaran-cabaran tertentu sepanjang menghasilkan filem Sue-On.
Sue-On berkisar tentang seekor hantu Korea yang sering mengganggu manusia dengan mengeluarkan dirinya dari kaca televisyen.
Pada satu malam, nasib Sue-On tidak begitu baik kerana selepas keluar dari skrin televisyen, Adam yang dimarahi oleh bapanya kerana menonton dengan begitu lama, mematikan suis televisyen lalu membuatkan Sue-On terperangkap dan tidak boleh pulang ke tempat asalnya.
Sue-On berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan pulang ke tempat asalnya dengan mencari sesiapa sahaja yang sedang menonton filem Sue-On.
Ketika Sue-On sedang mencuri masuk ke dalam satu rumah, kewujudannya telah disedari oleh sepasang suami isteri yang pada ketika itu sedang menonton filem Hantu Kampung Sebelah.
Oleh kerana takut diapa-apakan, Sue-On mengambil keputusan untuk melompat masuk ke dalam skrin televisyen itu. Pasangan suami isteri itu terus memadamkan televisyen mereka. Kini, Sue-On terperangkap di Kampung Sebelah.
Menampilkan ramai barisan pelakon-pelakon hebat tanah air, Sue-On akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 6 Julai 2023. -Gempak | AstroAwani

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!