Doa agar ALLAH bantu menghadapi sakaratul maut…
DALAM al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 185)
Kalamullah itu sudah cukup menginsafkan kita bahawa kehidupan di dunia hanya bersifat fana. Kita diberi peluang untuk bermukim di muka bumi ini cuma sebentar. Semuanya tidak akan kekal lama.
Saat kematian menjengah, setiap daripada kita pasti akan menghadapi satu detik yang dipanggil sakaratul maut.
Ketika inilah segala amal yang dikerjakan sepanjang riwayat hidup kita akan diperlihatkan sama ada bakal ditempatkan bersama orang-orang soleh atau sebaliknya.
Untuk menghadapi saat sakaratul maut itu, pendakwah Ustazah Asma’ Harun di laman Facebooknya berkongsi akan satu doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda sudah menghampiri ajal.
Diceritakan oleh Saidatina Aisyah, Baginda SAW meminta kepadanya air lalu dibacakan satu doa:
Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّهَا قَالَتْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ بِالْمَوْتِ وَعِنْدَهُ قَدَحٌ فِيهِ مَاءٌ وَهُوَ يُدْخِلُ يَدَهُ فِي الْقَدَحِ ثُمَّ يَمْسَحُ وَجْهَهُ بِالْمَاءِ ثُمَّ يَقُولُ
Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW sedang nazak. Baginda mempunyai cawan berisi air di dalamnya, baginda meletakkan tangannya ke dalam cawan kemudian menyapu mukanya dengan air itu, lalu baginda berkata:
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى غَمَرَاتِ الْمَوْتِ وَسَكَرَاتِ الْمَوْتِ
“Ya ALLAH! Tolonglah aku dengan derita kematian dan penderitaan kematian.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Bukan sahaja dibaca oleh orang yang menghampiri kematiannya, kata Ustazah Asma’, doa tersebut juga boleh diamalkan ketika menjaga keluarga yang sedang sakit dan nazak.
Jelas beliau, sunnah dibacakan doa itu, lalu disapukan air pada wajah dan anggota badannya.
“Moga dengan air yang sifatnya menyejukkan dapat meringankan rasa panasnya ketika menghadapi sakaratul maut.
“Ketika itu hanya ALLAH SWT yang dapat membantu keadaan kesakitan hamba-NYA,” ungkapnya.
Cinta dunia penyebab sakit sakaratul maut
Bercerita tentang sakaratul maut, ramai yang menyimpan persepsi bahawa ia begitu menyakitkan saat nyawa dicabut daripada jasad.
Sheikhul Islam Imam Al-Ghazali berkata: “Saat kematian nanti, yang menyakiti kamu bukanlah sebab roh kamu yang diambil oleh malaikat maut, tetapi adalah sebab terlalu cintanya kamu pada dunia sehingga sukar roh kamu untuk pergi.”
Pendakwah terkenal, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi menjelaskan, sakit ketika menghadapi sakaratul maut berpunca daripada cintakan dunia.
Katanya, roh tidak akan sakit saat dicabut bila kita sudah mengerti segala kehendak ALLAH sepertimana kita fahami saat ALLAH memberikan ujian kepada kita dengan kehilangan, kesihatan, harta benda pekerjaan dan sebagainya.
“Apabila kita sudah terbiasa dengan pengertian kehilangan, maka kematian bukanlah satu seksaan, bahkan ia adalah hari kebahagiaan yang dinantikan oleh orang-orang soleh kerana mereka selalu menerima khabar bahawa pada hari akhirat itu nikmatnya luar biasa dan indah sekali.
“Mereka tidak pernah mencintai dunia. Pada mereka, dunia hanyalah pada tangan untuk dipegang dan bukan dalam hati untuk dicintai,” ungkapnya menerusi satu perkongsian di laman media sosial.
Ustaz Pahrol turut menitipkan satu pesanan sebagai renungan bersama: “Jika kita andaikan dunia ini seperti batu dan akhirat itu adalah berlian. Apakah sukar bagi kamu untuk meninggalkan batu dan memilih berlian?”
sumber : sinarislamplus
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!