Cukup Allah Yang Tahu
Ditulis dalam gaya reflektif #JMBELOG
Tentang Luka Yang Tak Semua Orang Faham
Dalam hidup ini, akan selalu ada manusia yang menilai tanpa benar-benar mengenal isi hati kita. Mereka hanya melihat dari jauh, lalu menyusun cerita berdasarkan apa yang mereka nampak. Sedangkan luka, kecewa dan perjuangan yang kita simpan dalam diam tidak pernah benar-benar terlihat.
Kita bukan manusia sempurna. Pernah jatuh, pernah salah, pernah tersilap langkah hingga tanpa sedar melukakan hati orang lain. Dan kadang-kadang, apa yang diperkatakan tentang kita mungkin ada benarnya. Kerana kita juga manusia biasa yang sedang belajar memperbaiki diri.
Namun hidup bukan tentang menjadi manusia paling baik di mata semua orang. Hidup adalah perjalanan untuk terus pulang kepada diri sendiri, memperbaiki apa yang rosak dan belajar bangkit dari gelap yang panjang.
Biarlah manusia berkata apa saja. Tidak semua tangisan mampu dilihat, dan tidak semua perjuangan mampu difahami. Ada doa yang jatuh diam-diam di sepertiga malam. Ada hati yang bertahan walaupun hampir menyerah.
Jika suatu hari nanti keburukan kita menjadi cerita manusia, tidak mengapa. Kerana tentang segala usaha untuk berubah, tentang hati yang masih cuba bertahan dan tentang kebaikan yang tidak pernah dihebahkan kepada dunia…
Cukuplah Allah yang tahu.
Jatuh bangun kita atas dunia mmg kita sahaja yg boleh berusaha untuk bangkit dan jgn mengharapkan org lain.. sbb yg dtg itu belum tentu ikhlas atau juga belum tentu boleh menerima kita seadaa nya.. yes pernah mengalami situasi yg sama.. apa pun doa pada Allah penguat utk segala keadaan.
BalasPadam