Pages

April 01, 2020

Haiwan kedua covid-19

Hong Kong: Badan Kebajikan Haiwan Hong Kong mengesahkan seekor lagi anjing yang dipelihara penghidap  Covid-19 dijangkiti virus itu.

Baka German Sheperd berusia dua tahun itu dipelihara suami isteri tinggal di Jalan Pok Fu Lam, di sini dan sudah dikuarantin pada Ahad bersama seekor lagi anjing baka campuran.

South China Morning Post melaporkan pemiliknya seorang wanita berusia 30 tahun disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Paris dan London pada 27 Februari lalu, manakala suaminya, mengalami simptom dan berada di hospital.

Anjing peliharaan mereka kini ditempatkan dalam kurungan berasingan di fasiliti kerajaan.

Sampel air liur dan hidung anjing berkenaan diambil untuk ujian pada Rabu dan semalam dengan keputusannya positif virus bagi baka German Shepherd, tetapi negatif untuk seekor lagi anjing.

ANJING Pomeranian yang hasil ujian beberapa kali menunjukkan positif lemah mati pada Isnin lalu. FOTO Facebook.
ANJING Pomeranian yang hasil ujian beberapa kali menunjukkan positif lemah mati pada Isnin lalu. FOTO Facebook.

Bagaimanapun anjing itu tidak menunjukkan simptom Covid-19, namun Jabatan Pemuliharaan, Perikanan dan Agrikultur Hong Kong memaklumkan akan memantau rapi kedua-dua anjing berkenaan dan menjalankan ujian berterusan.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Haiwan Profesor Vanessa Barrs daripada City University menggesa orang ramai supaya tidak panik kerana tiada bukti menunjukkan manusia boleh dijangkiti koronavirus daripada haiwan peliharaan.

Selain itu, katanya, berdasarkan pengalaman berdepan wabak SARS pada 2003 menunjukkan anjing dan kucing tidak mudah jatuh sakit dan tidak juga memindahkan virus kepada manusia.

Profesor Malik Peiris iaitu ahli virologi di University of Hong Kong yang banyak membantu kerajaan menganalisis spesimen berkata, ujian darah perlu dilakukan tetapi sampel perlu diambil sekurang-kurangnya 10 hari selepas jangkitan awal.

“Besar kemungkinan dua kes positif itu contoh jangkitan yang berlaku daripada pindahan manusia kepada haiwan.

“Kami juga akan melakukan siasatan susulan ke atas anjing baka campuran yang keputusan awalnya negatif,” katanya.

Selain dua anjing itu, empat kucing turut menjalani kuarantin dan tidak dibenarkan dilawati sesiapa.

Anjing pertama mati pada Isnin lalu adalah baka Pomeranian yang 
berusia 17 tahun yang menunjukkan keputusan ‘positif lemah’ selepas beberapa kali ujian koronavirus.

https://www.hmetro.com.my/global/2020/03/556554/anjing-kedua-dijangkiti-covid-19

1 comments:

Hsna Rahman berkata...

allahu kesiannya.Tapi tulaaa China ni memang pelik-pelik lahh..

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!