Pages

Mei 14, 2023

Cuaca panas melampau buru nyawa manusia, dinginkan suasana dengan membaca doa ini… #jmbelog

Cuaca panas melampau buru nyawa manusia, dinginkan suasana dengan membaca doa ini…

LAPORAN Pertubuhan Kesihatan Dunia atau World Health Organization (WHO) 2023 mengesahkan bahawa strok haba telah membunuh lebih 20,000 nyawa sejak fenomena gelombang haba berterusan di Eropah pada pertengahan tahun 2022.

Di Malaysia, 200 kes penyakit berkaitan haba telah dilaporkan pada tahun 2016, yang mana 22 kes adalah strok haba.

Terkini, dua kes kematian kanak-kanak masing-masing berusia setahun tujuh bulan dan 11 tahun akibat strok haba pada Hari Raya Aidilfitri keempat, Selasa, 25 April 2023 di Kelantan.

Demikian maklumat mutakhir yang dikongsi Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr. Nik Rosmawati Nik Husain melalui laman web rasmi Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, di Kubang Kerian Kelantan.

Jelas beliau, strok haba merupakan suatu penyakit yang serius akibat pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan tidak mampu menstabilkan suhu badan.

“Keadaan itu dicetuskan apabila suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40°C (darjah celsius) atau lebih; dan kejadian strok haba boleh berlaku secara tiba-tiba atau berperingkat.

STROK haba merupakan suatu penyakit yang serius akibat pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau.

“Kadar kejadian strok haba adalah berbeza bergantung kepada faktor geografi, cuaca dan aktiviti penduduk setempat. Risiko strok haba adalah tinggi apabila berada dalam keadaan suhu sekeliling melebihi 39.2°C.

“Oleh itu, tindakan aktif hendaklah diambil bagi mengelak kejadian penyakit berkaitan haba seperti strok haba,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga telah melaporkan bahawa gelombang panas dan kering sedang melanda negara akibat peralihan monsun dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Julai 2023 selain turut melanda negara-negara Asia lain termasuk Thailand, Vietnam, China, India dan Bangladesh.

Seterusnya, memetik perkongsian di laman portal zayan.my, disebabkan cuaca panas yang melampau ketika ini, sebagai umat Islam kita bolehlah amalkan doa dan zikir ini.

Doa ketika cuaca panas;

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، مَا أَشَدَّ حَرَّ هَذَا الْيَوْمِ ، اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنْ حَرِّ جَهَنَّمَ

(Lailaha illa Allah, Mā asyadda Harra Hazal Yaum, Allahumma Ājirni min Harri Jahannam )

Maksudnya: Tiada tuhan melainkan ALLAH, Alangkah panasnya cuaca pada hari ini, Ya ALLAH Ya Tuhanku Jauhkanlah aku daripada panasnya neraka jahannam-MU.

Selain berdoa, kita boleh amalkan zikir ketika berada dalam cuaca panas.

Zikir

KETIKA berada dalam cuaca yang panas zikirkanlah nama ALLAH ‘YA LATIF’. 

Ketika dalam kepanasan atau berada dalam cuaca yang panas zikirkanlah nama ALLAH ‘YA LATIF’ sepenuh hati dan berulang-ulang kali.

Sebagai umat Islam juga, kita haruslah percaya ujian cuaca panas ketika ini merupakan satu latihan untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala sabar atas ujian kepanasan.

ALLAH SWT berfirman di dalam al-Quran “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya ALLAH menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. (Surah al-Baqarah ayat 153)

sumber

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!