Ada orang yang menggunakan joran ini untuk menangkap ikan bagi menyuap mulut-mulut kelaparan di rumah. Mereka menganggap inilah sumber rezeki selain menjala dan memasang pukat serta bubu. Banyak hasilnya, senanglah hati mereka. Ada lauk di pinggan dan lebihan untuk didagang.
Ada orang yang menggunakan joran ini sebagai sukan. Mainnya di tengah laut dengan bot. Ukuran dan beratnya hasil menjadi ukuran. Semakin besar yang berjaya dibawa naik, tinggi juga ganjarannya. Ini sukan orang senang yang diiringi dengan gelak ketawa dan joran-joran mahal.
Aku… aku dengan sebatang joran yang sudah lama mengumpul debu di dalam bilik stor. Joran peninggalan datukku dulu. Memacak khemah di tepi danau hijau ini. Membuka kembali kotak memori dengan kopi hangat di tangan sambil menanti joranku mengena. Sendirian… jauh daripada kehidupan. Joran itu hanya alasan untuk aku lari sebentar. Bukan ikan yang aku cari, hanya secebis ketenangan.
0 Comments:
Catat Ulasan
“Untuk anda yang singgah… tinggalkanlah jejak, tinggalkanlah yang baik-baik, walau sekecil rasa, walau sependek kata.
Kerana setiap kehadiran itu, ada makna yang tak selalu terlihat oleh mata. Dan setiap kata yang kita tinggalkan, akan kembali kepada kita dalam bentuk yang sama.”