*Susu Kotak* _oleh Khairunnisaq_
Setiap kali Ahmad sampai ke sekolah pada waktu pagi, pasti ada sekotak susu Dutch Lady perisa coklat di atas mejanya. Biasanya dia orang pertama tiba di kelas. Tak pula dia lihat orang lain di situ. Setiap hari, susu itu tidak pernah gagal muncul di atas mejanya.
Ahmad tak puas hati. Dia nak juga tahu siapa yang memberinya susu-susu itu. Lalu, ambil keputusan untuk datang lebih awal berbanding selalu. Namun, susu itu tidak kunjung tiba. Waktu rehat saat semua orang ke kantin, susu itu muncul kembali di mejanya.
Bukan dia tak bersyukur. Dia perlu tahu siapa yang memberinya susu itu. Ibu selalu pesan, jangan ambil barang yang bukan kita punya. Jadi setiap kali dia dapat susu kotak itu, dia akan letak di dalam laci meja sekolahnya sampai penuh. Sehinggalah suatu hari….
“Kenapa, awak tak minum susu yang saya bagi?” Seorang pelajar perempuan berdiri mencekak pinggang di tepi meja Ahmad saat dia tiba di kelas hari ini.
“Awak siapa?”
“Saya Hanani. Darjah 4 Arif. Jawablah!”
“Ibu saya pesan jangan ambil barang yang bukan kita punya. Kenapa awak bagi saya susu tu?”
“Saya selalu nampak awak jalan kaki hari-hari pergi balik sekolah. Hujan ke panas, awak tetap jalan kaki. Saya naik kereta dengan ayah saya. Saya rasa awak mesti haus sebab saya suruh ayah saya belikan susu untuk awak sekali tiap pagi. Minum je! Itu pun susah ke?”
Hanani berlalu pergi meninggalkan kelas 4 Bestari dan Ahmad yang terpinga-pinga. Cepat-cepat Ahmad tanggalkan begnya dan mengejar Hanani.
“Macam tu ke ayah jumpa mama? Kira mama ada crush dekat ayah dululah ni. Hahaha!” Aina seronok mendengar cerita percintaan ibu bapanya.
“Hisy, awak ni malu saya! Itu pun nak dicerita.” Dicubit peha Ahmad kuat.
“Aduh! Dah memang betul awak suka saya dulu.”
Maka bertekak manjalah pasangan itu sambil diperhatikan anak mereka.
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!