Januari 12, 2019

Lebih 100 kereta hangus

Lebih 100 kereta hangus

KIRA-KIRA 100 hingga 150 kereta rosak serta musnah dalam kebakaran di Depoh Simpanan Kereta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, kira-kira 2 pagi, hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Muhamad Hafidz Yaacob berkata, 57 anggota, empat jentera FRT, tiga lori tangki, tiga unit Bermotor Bomba (RIM) dan satu jenteraUnit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 2.08 pagi.

Katanya, sebaik sampai api sedang marak membakar kawasan depoh berkenaan yang menempatkan kereta lupus.

"Pada awalnya, seramai 21 anggota membabitkan dua jentera FRT, tiga unit RIM dan satu unit EMRS dikejarkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran berkenaan.

"Namun, jumlah anggota bomba dan jentera terpaksa ditambah susulan keadaan api yang sangat marak serta sukar dipadamkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad Hafidz berkata, api dapat dipadamkan hampir tiga jam kemudian iaitu sekitar jam 4.53 pagi.

"Siasatan mendapati, kebakaran membabitkan keluasan lebih kurang 2,800 meter persegi.

"Hasil siasatan mendapati kira-kira 100 hingga 150 kenderaan yang diletakkan dalam kawasan depoh berkenaan musnah akibat kejadian itu," katanya.

Menurut Hafidz, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sumber

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!