MCDONALD’S Malaysia menukar papan tanda restorannya di Bukit Bintang kepada Mekdi, slanga tempatan bagi singkatan perkataan McD.
Cawangan berkenaan juga adalah restoran McDonald’s yang pertama di Malaysia dan dibuka pada 1982.
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasarannya, Melati Abdul Hai berkata, nama Mekdi akan digunakan untuk tempoh sementara sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Sepanjang 37 tahun, rakyat Malaysia telah membantu membangunkan jenama McDonald’s Malaysia seperti yang dikenali hari ini.
“Sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan pelanggan, kami telah memutuskan untuk menerima pakai nama panggilan mesra Mekdi yang diberikan kepada kami, di mana ia kini sinonim dengan jenama McDonald’s,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, sempena meraikan Bulan Kebangsaan, McDonald’s Malaysia menyambut segala yang berkaitan Malaysia dengan memperkenalkan Nasi Lemak McD, hidangan kegemaran ramai rakyat Malaysia dalam versinya tersendiri.
Malah, menyedari populariti nasi lemak di kalangan rakyat Malaysia, McDonald’s Malaysia juga memulakan petisyen di seluruh negara di laman web Change.org supaya nasi lemak diiktiraf secara rasmi sebagai hidangan kebangsaan Malaysia, dengan sasaran mengumpul 1 juta tandatangan menjelang Hari Malaysia pada 16 September nanti.
_ MyMetro
SEKALI lagi McDonald's Malaysia (McDonald's) menzahirkan jiwa 'Malaysia' dengan memaparkan papan tanda Mekdi di 16 restoran terpilih di seluruh negara.
Inisiatif menarik itu sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan ulang tahun ke-38 syarikat itu di negara ini.
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, papan tanda Mekdi (McD) adalah singkatan panggilan tempatan untuk McDonald's dan kempen berkenaan diadakan sehingga 16 September ini.
Kata Melati, semua 16 restoran terbabit dipilih sendiri rakyat Malaysia menerusi undian yang dijalankan sebelum ini.
"Dikenali sebagai Mekdi dalam kalangan rakyat Malaysia, jenama McDonald's terus berkembang dengan sokongan padu pelanggan setia.
"Nama Mekdi mendapat sambutan hangat ketika pertama kali memperkenalkan papan tanda itu di restoran ikonik kami di Bukit Bintang tahun lalu dan ia jelas menunjukkan bahawa Mekdi sinonim dengan masyarakat di negara ini.
"Jadi kali ini kami ingin memberi penghormatan kepada lebih ramai rakyat di seluruh negara dengan menukar restoran McDonald's kegemaran mereka kepada Mekdi ," katanya ketika berucap melancarkan papan tanda Mekdi di Putrajaya, semalam.
Hadir sama, Pengurus Kanan Pemasaran Mcdonald's Malaysia, Azman Mohammad.
Menurut Melati, pandemik Covid-19 menguji operasi perniagaan mereka di pelbagai peringkat namun pihaknya berterima kasih kepada pelanggan kerana terus memberi sokongan sepanjang musim mencabar itu.
Kata Melati, pihaknya juga berbangga dengan kakitangan yang sentiasa peka dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan ketat dipatuhi di semua restoran di seluruh negara.
"Ini jelas menunjukkan semangat #KitaBoleh yang didukung masyarakat kita.
"Menerusi perancangan untuk membuka 450 restoran menjelang 2025, kami juga menetapkan sasaran bagi menambah lebih ramai tenaga kerja," katanya.
Sementara itu, sempena sambutan bulan kemerdekaan, McDonald's turut memperkenalkan rendang ayam sebagai pilihan hidangan sampingan bersama nasi lemak, ikan bilis rangup, timun segar, telur goreng dan sambal pedas.
Selain itu, pelanggan juga boleh memilih Nasi Lemak McD bersama kepingan Spicy Chicken McDeluxe atau kepingan Grilled Chicken Burger (GCB).
Untuk pencuci mulut, pelanggan boleh nikmati pai jagung, ais krim perisa cendol atau McFlurry Cendol baharu yang enak dengan gula Melaka, cebisan kelapa, vanila berkrim cair dan jeli cendol.
Azman berkata, hidangan Nasi Lemak McDonald's bersama rendang ayam boleh dinikmati sehingga akhir September manakala nasi lemak bersama kepingan Spicy Chicken McDeluxe atau kepingan GCB sehingga 9 September ini.
"Menu berkenaan disediakan bagi memberi kelainan kepada pelanggan dan walaupun pertama kali ia diperkenalkan namun sambutan yang diterima cukup memberangsangkan.
"Jadi, jangan ketinggalan untuk menikmati hidangan berkenaan dan nikmati kelainannya," katanya.
_ MyMetro
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.