Ogos 05, 2023

Kunci Hati

*Kunci Hati* _oleh Nur Syazwani_

"Ada ke orang yang nakkan aku? Aku ni dahlah biasa-biasa saja. Tak ada yang menarik. Kawan-kawan lain semua dah ada peneman hidup, aku seorang je masih kat belakang, sendirian…."

Rendah suara Yana bermonolog di taman itu. Dia duduk sambil tunduk memandang bajunya sendiri. Tiada segaris senyum pun yang terukir di bibirnya. Wajahnya jelas kelihatan sayu.

Dia sudah banyak kali terkandas dalam soal ini. Ada yang baru saja hendak dikenali, sudah awal-awal cabut lari. Ada pula yang seakan-akan memberi harapan, tetapi rupanya hanya dusta dihulurkan. Akhirnya, dia masih di sini, dalam kesepian. Namun, mungkin juga… telahannya silap.

Tak lama kemudian, terdengar korus lagu The Carpenters, ‘Yesterday Once More’ bergema daripada telefonnya. Panggilan daripada mak. Terus dia angkat.

“Ya, ada apa, mak? Hah?! Risik? Siapa?”

Bungkam dia mendengar jawab balas mak di hujung sana. Akhirnya panggilan itu diakhiri dengan ayat, “Beri Yana masa untuk fikir.”

Yana pandang ke tengah taman. Perlahan-lahan dia cuba untuk senyum.

“Kamu ingat Budi? Anak Mak Temah yang selalu main dengan kamu masa kecik tu? Dia datang merisik tadi. Katanya, nak bertunang dengan kamu terus kalau kamu setuju. Lepas dia habis Master di Singapore, dia akan buat majlis...."

Terngiang-ngiang jawapan mak dalam fikiran. Budi, orang pertama yang dia taruhkan hati. Tapi rasa itu terpadam apabila lelaki itu berpindah ke bandar mengikut ayahnya. Bertahun-tahun, akhirnya dia kembali. Kali ini untuk mengikat hati. Ingatkan Budi sudah lupakan dirinya, sudah melangkah jauh mengejar mimpi. Rupa-rupanya, di sini mencari, di sana menanti.

Tak sangka, orang yang dia cari-cari itu ada sahaja di dekatnya. Cuma dia perlu bersabar menata takdir. Mungkin Budilah, kunci pada pintu hatinya.

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!