Ogos 05, 2023

Meja Makan

 *Meja Makan* _oleh Khairunnisaq_


Di sebuah rumah agam, seorang tua duduk sendiri bersama tiga orang pembantu rumah, seorang pemandu, dan seorang tukang kebun. Meja makan di rumah itu besar dan berkilat. Diperbuat daripada kayu yang diimport dari Itali. Boleh memuatkan 16 orang. Namun, si tua hanya sendiri di situ. Pembantu-pembantu yang lain makan di dapur. Selera makannya hilang….


Di sebuah rumah teres, satu keluarga duduk bersama. Seorang bapa, seorang ibu, dan dua orang anak. Meja makan di rumah itu diperbuat daripada besi serta kaca. Boleh memuatkan enam orang. Namun, masing-masing sibuk menghadap telefon dan gajet di tangan. Makanan yang terhidang sekadar disuap tanpa dipandang dan dinikmati. Makan sekadar untuk mendapat nutrisi. Tiada sepatah kata pun yang dikongsi….


Di sebuah rumah kayu, sebuah keluarga duduk berkumpul. Sepasang ibu bapa, enam orang anak, seorang menantu dan seorang cucu yang baru berumur dua tahun. Tiada meja, hanya hamparan tikar untuk mengalas pinggan lauk-pauk yang entah cukup atau tidak itu. Mereka bergelak ketawa dan berkongsi cerita tentang hari yang dilalui. Sedikit atau banyak mereka bahagikan sama rata. Yang tua akan mengalah. Biarpun kurang, hati mereka tetap terisi….

Cereka

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!