Pages

September 01, 2023

SEMBILAN IDENTITI NEGERI SEMBILAN

SEMBILAN IDENTITI NEGERI SEMBILAN


   

1. Adat Pepatih

Ciri-ciri Adat Perpatih ini adalah Islam, menggunapakai sistem kepimpinanan berasaskan sistem demokrasi, salasilah keturunan sesebuah keluarga dan suku berdasarkan keturunan ibu; Seni dan Budaya pula merujuk kepada seni bina, makanan, muzik dan lagu, pakaian, adat dan istiadat, cerita rakyat, pantang larang dan lain-lain.

   

2. Seni Bina

Rumah tradisional bumbung panjang sekali gus melambangkan pengamalan budaya Adat Perpatih oleh masyarakatnya.

Setiap luak ada perbezaan daripada segi reka bentuk asas dan berbeza dengan seni bina rumah gadang. Ia juga menggabungkan ciri-ciri alam bina dari Minangkabau, Melayu Riau khususnya Bangkahulu dengan masyarakat tempatan (Orang Asli).

   

3. Gulai Kuning untuk makanan tradisional

Pada November 1977, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan Masak Lomak Lado Api menjadi identiti Negeri Sembilan dan kini diangkat semula sebagai Gulai Kuning.

Bahan-bahan utama dalam masakan ini adalah simbolik bagi menyediakan Gulai Kuning iaitu santan, cili padi kampung (capsicum frutescens) serta kunyit hidup yang menjadikan masakan berwarna kuning sekali gus menjadikan Gulai Kuning berbeza dengan masakan negeri lain.

   

4. Bunga Lada

Bunga Lada atau Lado di dalam sebutan masyarakat Negeri Sembilan adalah bunga yang boleh melambangkan keunikan yang terdapat di Negeri Sembilan.

Bunga ini juga membawa maksud dan lambang tersendiri iaitu Daun melambangkan rakyat Negeri Sembilan, lima kelopak bunga melambangkan lima Rukun Islam dan Rukun Negara, Stamen (Benang Sari) Undang Yang Empat (Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau) dan Tuanku Besar Tampin dan Stigma melambangkan Yang di-Pertuan Besar.

5. Gasing Negeri Sembilan & Dam Harimau


Untuk permainan tradisional, Negeri Sembilan memperkenalkan dua identiti iaitu Gasing Negeri Sembilan (outdoor) dan Dam Harimau (indoor).


Permainan gasing dipercayai sudah dimainkan oleh masyarakat Negeri Sembilan sebelum merdeka lagi untuk melahirkan semangat silaturahim masyarakat.


Dam Harimau pula adalah permainan popular kanak-kanak dan dewasa satu ketika dahulu. Permainan ini mudah dimainkan dengan penyediaan papan dam yang boleh dilukis sendiri serta buah dam/tir adalah daripada kayu atau tudung botol diwarnakan dalam dua warna untuk membezakan pemain.


   


6. Caklempong


Bagi kategori muzik, Caklempong dikenali juga sebagai telempong oleh orang Minangkabau tergolong dalam kumpulan Idiofon iaitu kategori alat muzik yang dibuat daripada bahan kayu, buluh dan tempurung.


Caklempong boleh dimainkan secara berdiri dan duduk Caklempong pacik digunakan untuk mengiringi perarakan tetamu dimainkan sambil berjalan.


    Muzik caklempong turut mengiringi pencak silat, tarian lilin, tarian piring, dan tarian inai.


7. Tarian Piring Lambung


Tarian Piring Lambung menjadi identiti tarian masyarakat Negeri Sembilan.


Setiap setiap gerak tari tarian piring lambung ini melambangkan kehidupan masyarakat Negeri Sembilan.


   


8. Enam lagu terbitan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS)


Berlatar belakangkan Negeri Sembilan, lagu Moh Dogheh (Aishah), Orang Kito (Ito), Lambaian Negeri (Aishah), Pepatah Petitih (Ewal), Nogori (Waghih) dan Dirgahayu Yang di-Pertuan Besar (Fitri) diangkat sebagai lagu identiti untuk Negeri Sembilan.


Enam lagu yang beridentitikan Negeri Sembilan dan menggunakan loghat Negeri Sembilan digubah dibawah projek yang diterajui oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan dan diterbitkan LPNS.


   


9. Busana tradisional


Untuk kategori busana tradisional, ia terbahagi kepada dua iaitu busana tradisional lelaki dan Wanita.


Untuk busana tradisional lelaki, identiti bajunya adalah Baju Melayu Cekak Musang iaitu pakaian yang mempunyai kolar baju bercekak tinggi berdiri iaitu setinggi 2.5 sentemeter (cm) yang melingkari leher.


Pakaian ini juga mempunyai pesak, berkekek dan berpoket tiga serta terdapat lima buah kancing di leher yang melambangkan Rukun Islam.


Manakala untuk busana tradisional Wanita pula ialah Baju Kurung Ibu Soko, baju Kebaya Setengah Tiang dan baju kurung Pengantin Negeri Sembilan.


Menariknya, ketiga-tiga busana ini mempunyai ciri-ciri yang unik. Baju kurung Ibu Soko ia mempunyai leher Telok Belanga Jahitan Tulang Belut dan mempunyai ikatan tindih kasih serta potongannya berbentuk kembang payung, berpesak dan berkekek.


Baju Kebaya Setengah Tiang pula biasanya dipadankan dengan penggunaan kain batik sarung dan mempunyai kain potongan sembilan, berpesak dan berkekek serta panjang kelabuhan baju ini bawah dari punggung dan atas dari lutut.

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!