Personaliti agama dilantik Ahli Lembaga Pengarah USIM

Personaliti agama dilantik Ahli Lembaga Pengarah USIM

 Personaliti agama yang sering muncul sebagai moderator Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Ustaz Mohd Hariri Mohammad Daud, 35, dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu.
Pelantikan beliau dipersetujui oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek selaras peruntukan Seksyen 17 (1) (f) Perlembagaan USIM (Wakil Alumni) bagi tempoh tiga tahun mulai 1 Februari 2019 hingga 31 Januari 2022.


Pegawai Pusat Komunikasi Strategik USIM, Mohd Zaini Othman berkata, selain memberi sumbangan kepada masyarakat melalui lapangan dakwah,Mohd Hariri juga aktif dalam bidang penulisan.


"Beliau telah menulis lebih 12 buah buku dan pernah mendapat Top 5 Buku Paling Popular 2015 serta Buku Pilihan Perpustakaan Negara 2018.


“Antara penulisan beliau adalah ‘Rumah Yang Berkat Membawa Rahmat’, 99 Tips Pembentangan Power dan terkini ‘Menjejaki FirmanMu Di Langit Amerika’.


"Beliau juga turut menyumbang penulisan keagamaan sebagai kolumnis di akhbar perdana dan majalah.


"Pihak universiti merakamkan ucapan tahniah dan mengalu alukan pelantikan ini yakin beliau dapat memberi sumbangan yang signifikan dan membawa USIM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan orgnisasi yang lebih cemerlang selari dengan perancangan strategik universiti menjadi institusi rujukan global dalam pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli," katanya dalam satu kenyataan.


Sebagai rekod, Mohd Hariri anak kelahiran Pasir Mas Kelantan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Dakwah dan Pengurusan Islam) USIM (2009) dan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (2016) merupakan Penolong Pengarah Bahagian Maqasid Syariah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Mohd Zaini berkata, Mohd Hariri yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti atas kapasiti alumni telah memberi pelbagai sumbangan kepada universiti sejak zaman beliau menjadi mahasiswa USIM.


"Semasa pengajiannya di USIM, beliau pernah diberi kepercayaan sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM dan Presiden Kelab Debat selain aktif mewakili universiti sebagai pendebat Bahasa Melayu dengan meraih pelbagai kejayaan diperingkat kebangsaan.


"Manakala sepanjang perkhidmatannya di Jakim, beliau telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri, Anugerah Pekerja Harapan Jakim dan menjuarai Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia," katanya.
Sumber 

Comments

Post a Comment