Pages

Jun 22, 2020

UTUSAN MALAYSIA DIJANGKA BEROPERASI SEMULA JULAI.

UTUSAN MALAYSIA DIJANGKA BEROPERASI SEMULA JULAI.

Akhbar berbahasa Melayu tertua di negara ini, Utusan Malaysia, yang menghentikan operasinya tahun lalu kerana masalah kewangan, dijangka kembali beroperasi bulan depan.

Laman webnya menunjukkan treaser animasi berbunyi: "Nantikan Julai ini. Dibawakan oleh Media Mulia Sdn Bhd."

Media Mulia dikaitkan dengan hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang mana syarikatnya Aurora Mulia memiliki saham dalam Media Prima Bhd.

Malaysiakini difahamkan pejabat baru Utusan terletak di ibu pejabat New Straits Times Press (NSTP) di Jalan Riong, Bangsar.

Media Prima juga merupakan syarikat induk NSTP yang menerbitkan tiga akhbar iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Satu sumber dalam syarikat itu mengatakan kakitangan di akhbar itu akan terdiri daripada muka lama dan baru, dengan anggaran kurang daripada 200 pekerja.

"Sebilangan pekerja dari syarikat lama telah digajikan semula tetapi pengurusan atasan terdiri daripada muka baru.

"Akhbar itu akan tersedia dalam versi digital dan cetak," kata sumber itu.

Untuk rekod, Kumpulan Utusan memiliki 815 kakitangan sebelum menamatkan operasi mereka pada 31 Okt tahun lalu.

Pada Nov tahun lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Yusof ketika itu mengumumkan bahawa Utusan akan membuat kemunculan semula pada awal tahun 2020.

Beliau berkata akhbar itu akan membantu menyebarkan maklumat mengenai pelaksanaan dasar kerajaan.

Tiga bulan kemudian, syarikat itu secara aktif mulai mencari calon untuk mengisi kekosongan jawatan seperti yang disiarkan dalam laman Facebook Utusan Online.

Utusan pertama kali diterbitkan dalam tulisan Jawi pada tahun 1939 sebelum beralih ke tulisan Rumi pada tahun 1967.

Akhbar itu mengalami kerugian sejak 2012.

Pada Okt tahun lalu, ketua eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Bhd ketika itu, Abdul Aziz Sheikh Fadzir mengatakan syarikat itu tidak lagi solven (mampu membayar hutang),  menyebabkan pemecatan semua kakitangannya.

Sumber

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!