Januari 20, 2021

AMANAH ITU BERAT, TETAPI PAHALANYA AMATLAH BESAR

AMANAH ITU BERAT, TETAPI PAHALANYA AMATLAH BESAR

Ketahuilah, bahawa menjaga dan melaksanakan amanah adalah tanda kesempurnaan iman. Tidak sempurna iman bagi seorang yang tidak amanah, sebagaimana ditegaskan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang dengan janji”. (HR Imam Ahmad daripada Anas bin Malik RA) 


Merujuk mafhum Hadith ini, bahawa sikap amanah yang amanah itu merupakan tanda-tanda kesempurnaan iman. Maka sebagai umat Islam yang beriman, pastikanlah kita melaksanakan apa jua amanah, mudah-mudahan dengan sebab sifat amanah itu, kita akan menjadi hamba Allah yang memiliki kesempurnaan iman. 

Ini menunjukkan bahawa sifat amanah itu adalah hasil daripada kekuatan iman. Orang yang beriman sudah tentu dia seorang yang amanah dan boleh dipercayai. Sifat iman itu pula kekadang ia bertambah dan berkurang. Semakin kuat iman, semakin amanahlah orang itu. Sebaliknya, semakin menipis iman seseorang, semakin lunturlah pula sifat amanahnya. 

Beratnya amanah itu, maka kerana itu Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah sesiapa yang menguasai sesuatu dari urusan umatku, lalu (mereka) mempersukarkan terhadap mereka (umatku), maka persukarkanlah baginya. Dan sesiapa yang menguruskan umatku lalu berlemah lembut kepada mereka, maka permudahkanlah baginya”. (HR Imam Muslim)

Saat kehancuran bakal tiba, apabila amanah disia-siakan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran. Seorang sahabat bertanya: Bagaimanakah mensia-siakannya, ya Rasulullah? Jawab Rasulullah: Apabila perkara (urusan) itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran”. (HR Imam Bukhari) 

Ingatlah, pesan dan peringatan Rasulullah SAW kepada kita tentang beratnya amanah, besarnya pahala orang yang menjaga dan melaksanakan amanah serta akibat mereka yang tidak amanah atau mensia-siakan amanah sama ada ketika di dunia, apatah lagi di hari kiamat kelak. 

Saya sekali lagi ingin menegaskan, marilah kita laksanakan amanah yang dipikulkan ke atas kita, jangan sekali-kali kita khianati amanah itu, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberikan kepercayaan kepada mu dan janganlah kamu mengkhianati seseorang yang pernah mengkhianati kamu”.(HR Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi) 

Ini bermakna kita hendaklah menjaga dan melaksanakan segala amanah kita, iaitu amanah kepada Allah SWT, amanah kepada Rasulullah SAW, amanah sebagai pemimpin, amanah sebagai ayah, suami dan isteri, amanah sebagai guru dan ustaz/ustazah, amanah sebagai ketua jabatan/pejabat, amanah sebagai ketua organisasi/persatuan, amanah sebagai imam, bilal, ketua kampung, amanah sebagai pemimpin masyarakat, amanah sebagai anak, amanah sebagai pelajar, ketua pelajar, amanah sebagai mudamudi Islam sehinggalah sekecil-kecil amanah sebagai tukang kebun, penternak, tukang sapu dan sebagainya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “…Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang yang berbuat baik”. (Surah At-Taubah, ayat 120)


0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!