Januari 20, 2021

Jagalah Sendiri Anak Anda

Jagalah Sendiri Anak Anda


Kebelakangan ini, aku selalu melihat dan memerhati banyaknya berlaku peristiwa pahit dan sedih melibatkan bayi. Terutama mengenai kes buang bayi. Dalam tandas lah, dalam parit lah, dalam lubang lah dan juga dalam tong sampah. Tetapi kali ini, aku bukannya hendak bercerita mengenai kekejaman manusia dan kezaliman ibu atau bapa yang tidak berperangai binatang membuang anak yang tidak berdosa. Kali ini, aku hendak keutarakan tentang isu penjagaan anak.

Di dalam kesibukan ibu bapa mencari rezeki untuk menyara keluarga, untuk menyuap sesuap nasi kedalam perut kosong anak kecil yang tidak tahu apa-apa, ramai diantara ibu bapa yang bekerjaya menghantar anak kecil mereka ke pusat jagaan bayi ataupun ke tangan manusia yang bergelar pengasuh (babysitter) sama ada yang sudah banyak pengalaman menjaga bayi ataupun tidak. Ini, memang tidak dapat dinafikan, adalah pilihan terakhir bagi ibu bapa yang tidak mempunyai saudara mara terdekat yang boleh ataupun berupaya untuk menjaga anak mereka yang masih kecil.

Walaupun begitu, dalam hal ini, pemilihan pengasuh yang sesuai adalah penting. Kriteria yang berpatutan perlu diambil kira dalam penilaian. Pemilihan yang salah boleh merumitkan keadaan dan mungkin juga akan mengorbankan nyawa anak yang baru cuba untuk mengenali dunia. Dan ini mengingatkan aku tentang kisah bayi yang meninggal dunia tahun lepas, hanya kerana dek tercekik oleh susu botol yang diminum olehnya.

Ianya nampak mustahil dan tidak mungkin akan berlaku, tetapi hakikatnya ia benar dan telah berlaku. Ia berlaku disebabkan oleh kelalaian manusia semestinya. Dan ianya berlaku diakibatkan oleh kecuaian manusia, yang tidak akan pernah lari daripada melakukan kesilapan. Dan kesilapan kali ini, kecuaian tersebut telah mengorbankan nyawa anak yang tidak berdosa.

Dalam hal ini, semestinya manusia yang memerhati dan memandang sebelah mata akan cepat menuding jari ke arah pihak pengurusan pusat asuhan kanak-kanak yang menjaga bayi tersebut. Dan pengasuh yang terbabit sudah semestinya dikenakan tindakan tegas. Tetapi walaupun begitu, aku cuba melihat daripada pelbagai sudut dan perspektif baru. Kesimpulannya, aku tidak lari daripada menyalahkan ibu bapa bayi itu juga.

Menurut undang-undang, "Seorang pengasuh kanak-kanak tidak boleh mengasuh lebih daripada 2 atau 3 orang kanak-kanak pada satu masa yang sama." Tetapi, pengasuh tersebut sudah mengasuh lebih 5 orang kanak-kanak, pada suatu masa yang sama. Di sini, dapat dilihat, jika ibu-bapa bayi tersebut sensitif mengenai perkara ini, membuat kajian mengenai pusat asuhan tersebut, sudah semestinya perkara tersebut dapat dielak dan mereka tidak akan menghantar anak mereka kepada pengasuh tersebut.

Jadi, kenapa cepat sangat untuk kita melatah, menuduh tanpa melihat dengan mata hati dan memerhati dengan mata kasar semata-mata. Dalam hal ini, dek kerana pihak pengurusan pusat asuhan yang sangat taksub mengaut keuntungan dengan tidak mengendahkan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan, bayi yang tidak berdosa telah meninggal dunia begitu sahaja. Dan begitu juga silapnya ibu bapa yang terlalu alpa ingin mencari kebahagian untuk anak-anak, menghantar anak-anak ke pusat asuhan tanpa usul periksa, akhirnya menderita dengan penuh duka, bila anak yang ditatang dengan minyak yang penuh sudah terpejam matanya yang tidak akan dapat dibuka buat selama-lamanya. 

sumber

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!