Tiga peristiwa haji yang perlu diketahui dan dihayati
Peristiwa Pertama: Kaabah Diselamatkan daripada serangan tentera bergajah pimpinan Abrahah
Peristiwa ini terjadi dan bertepatan dengan tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W yang lebih dikenali sebagai Tahun Gajah. Peristiwa pasukan bergajah terjadi pada bulan Muharram bertepatan dengan akhir Februari atau awal bulan Mac tahun 571 Masihi, atau sekitar sebulan setengah sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.
Ringkasan kisahnya adalah Abrahah yang menjadi wakil Raja Habasyah di Yaman menyaksikan orang-orang Arab berbondong-bondong datang ke Mekah setiap tahun untuk menunaikan ibadah haji. Rentetan daripada itu, beliau membina sebuah gereja besar dan mewah di Yaman yang dinamakannya dengan Al-Qulais. Tujuan pembinaan gereja tersebut adalah untuk mengalihkan tumpuan orang-orang Arab daripada setiap tahun pergi ke Mekah menunaikan ibadah haji dan beralih menuju ke gereja megah yang dibina olehnya di Yaman. Kejadian tersebut didengar oleh seorang laki-laki daripada Bani Kinanah yang kemudiannya melakukan perjalanan menuju gereja tersebut dan memasukinya pada suatu malam, lalu melumuri dinding-dindingnya dengan kotoran.
Abrahah yang mendengar berita tersebut berasa amat marah dan memutuskan untuk menghancurkan Kaabah. Dia kemudian memimpin sebuah pasukan tentera yang berjumlah 60,000 orang dengan pasukan yang dilengkapi oleh beberapa ekor gajah. Mereka berjalan menuju ke Mekah dan tiada satu pun kekuatan yang berani menghadangnya hingga tiba di sebuah tempat bernama Al-Maghmas. Di tempat itulah, mereka menggiring harta milik orang-orang Quraisy yang antaranya 200 ekor unta milik Abdul Muttalib datuk Nabi Muhammad S.A.W. Hal tersebut menyebabkan Abdul Muttalib selaku pemimpin masyarakat Quraisy datang menemui Abrahah.
Melihatkan kedatangan Abdul Muttalib maka Abrahah memberikan penghormatan dan memuliakannya. Tatkala Abrahah bertanya apa maksud kedatangannya, Abdul Muttalib berkata, “Maksud kedatangan saya ialah berharap Raja dapat mengembalikan unta-unta saya yang ditawan.” Abrahah berkata, “Mulanya saya berasa kagum denganmu saat melihat kedatanganmu, kemudian saya tidak lagi menghargaimu setelah kamu berbicara kepadaku. Apakah kamu hanya memikirkan untamu dan sama sekali tidak membicarakan tentang Kaabah yang merupakan agamamu dan agama leluhurmu, padahal kedatanganku ke mari adalah untuk menghancurkannya?” Abdul Muttalib berkata, “Saya adalah pemilik unta-unta itu. Adapun Kaabah, maka Pemiliknyalah yang akan menjaganya.” Abrahah berkata, “Tidak akan ada yang mampu menghalang saya.” Abdul Muttalib berkata, “Itu urusan kamu dan Pemiliknya” (Allah Ta’ala). Orang-orang Quraisy keluar berlindung ke gunung dan menanti sambil melihat apa yang akan dilakukan oleh tentara Abrahah.”
Abrahah mempersiapkan pasukannya untuk meneruskan perjalanan menuju ke Mekah. Tatkala pasukan tentera memerintahkan gajah yang bernama Mahmud untuk berjalan menuju ke Mekah, ternyata gajah tersebut duduk (tidak mahu berjalan). Mereka akhirnya memaksa gajah tersebut dengan memukulnya, tetapi ia tetap enggan untuk berjalan. Namun, ketika mereka mengarahkannya ke arah selain Mekah ternyata gajah itu mahu berjalan. Tidak lama kemudian datanglah pasukan burung Ababil (burung yang datang secara berkelompok) yang membawa batu-batu di paruh mereka dan ketika batu-batu tersebut menimpa salah seorang antara mereka, ia menjadi binasa. Allah Ta’ala berfirman, “Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kapada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah yang terbakar, lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).” (Surah Al-Fil: 105: 1-5).
Peristiwa Kedua: Safa dan Marwa Saksi Kecekalan dan Tawakal Siti Hajar menjaga anaknya Ismail
Sewaktu Nabi Ismail A.S dan ibunya hanya berdua dan kehabisan air untuk minum di lembah pasir dan bukit yang tandus, Siti Hajar pergi mencari air dengan berulang-alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwa sebanyak tujuh kali. Saat kali ketujuh (terakhir), ketika sampai di Marwa, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan derasnya di bawah telapak kaki Nabi Ismail A.S. Air itu adalah air zam-zam. Siti Hajar kemudian mendengar suara malaikat Jibril A.S dan berkata kepadanya, “Jangan khuatir, di sini Baitullah (rumah Allah) dan anak ini (Nabi Ismail A.S) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti. Allah SWT tidak akan mensia-siakan hamba-Nya.”
Peristiwa Ketiga: Arafah sebagai medan khutbah perpisahan
Peristiwa ini berlaku pada tanggal 9 Zulhijjah tahun 10 Hijriyah, ketika Rasulullah S.A.W menunaikan ibadah haji yang kemudian dikenali sebagai Haji Wada’ (Haji Perpisahan). Baginda tiba di lembah Wadi Urana, dalam keadaan masih di atas unta lalu berhenti dan kemudian berkhutbah di depan lebih seratus ribu orang yang hadir. Itulah peristiwa penyampaian khutbah yang begitu menggetarkan jiwa dan boleh dikatakan sebagai kesimpulan ajaran Islam dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W yang diwariskan kepada umat manusia. Khutbah berlangsung di bawah panas matahari dan seorang sahabat bernama Umayyah bin Rabi’ah bin Khalaf diminta mengulang dengan suara yang kuat setiap kalimat yang Nabi S.A.W sampaikan agar dapat didengari di tempat yang jauh dari tempat baginda berada.
Baginda berkhutbah di atas untanya al-Qaswah dan di sinilah turunnya wahyu mengenai kesempurnaan agama Islam. “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepada kamu, dan telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Ma’idah, 5: 3)
Selepas baginda membaca akan wahyu tersebut, para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun, Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a perasan bahawa al-Qaswah unta Nabi S.A.W menitiskan air mata dengan banyak lalu beliau pun ikut menangis. Saidina Umar r.a bertanya apakah sebabnya lalu Saidina Abu Bakar r.a menjelaskan bahawa di sebalik berita gembira tentang telah sempurnanya agama Islam, maka wahyu penutup itu juga petanda khabar duka bahawa Nabi S.A.W pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai rasul telah selesai. Mendengar penjelasan itu maka Saidina Umar r.a pun menangis sama, begitu juga dengan para sahabat yang lain.
sumber : newshub
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!