Julai 24, 2019

Anak Yang Sejuk Mata Memandang

Anak Yang Sejuk Mata Memandang

1. Dalam al-Quran, Allah mendidik orang beriman supaya sentiasa berdoa agar dikurniakan anak yang sejuk mata memandang. Firman Allah:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ

“(dan sifat hamba Allah itu) mereka (sentiasa) berdoa: “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami isteri-isteri dan zuriat yang sejuk mata memandang.”

2. Apakah yang dimaksudkan dengan anak yang menyenangkan mata memandang ini? Dalam memahami ayat ini, seorang sahabat Nabi bernama al-Miqdad ibn al-Aswad mempunyai pandangan yang agak menarik.

3. Menurut al-Imam al-Tabari, seorang lelaki lalu dihadapan Saidina al-Miqdad ibn al-Aswad, lalu memujinya. Lelaki itu berkata: “Beruntunglah engkau (wahai Miqdad) kerana kedua matamu dapat melihat Rasulullah." Saidina Miqdad tiba-tiba marah lalu berkata:

ما يدري لو شهده كيف كان يكون فيه

“Sesungguhnya lelaki tersebut tidak mengetahui (apa yang diucapkannya). Sekiranya dia menyaksikan (dan bersama dengan dakwah Rasulullah), dia pasti tidak tahu bagaimana dia akan bertindak (samada menerima dakwah Rasulullah atau tidak).” Bererti bukan mudah berada dalam situasi bersama dengan Rasulullah. Silap-silap, kita juga menentang dakwah.

4. al-Miqdad menerangkan mengapa dia marah dengan kata-kata lelaki tersebut. Kata al-Miqdad: Sesungguhnya Rasulullah dibangkitkan kepada satu kaum yang merasakan menyembah berhala adalah agama yang paling mulia. Ketika Rasulullah datang, Quraysh terpecah kepada dua. Satu kumpulan yang menerima dakwah, dan kumpulan lain menolak seruan Tauhid ini.

5. Ketika itulah kaum Muslimin diuji. Apakah mata mereka akan tenang melihat anak-anak mereka kufur kepada Allah. Apakah tenang mata anak muda Muslim melihat ayah ibu mereka kufur kepada Allah.  Kata Miqdad:

فلا تقر عينه و هو يعلم أن حبيبه في النار

“Mata orang-orang beriman tidak akan tenang melihat orang yang dicintainya itu akan berkesudahan di dalam neraka.”

6. Menurut al-Miqdad, inilah yang dimaksudkan oleh doa yang diajarkan oleh Allah di dalam al-Quran itu tadi. Anak sejuk mata memandang adalah merekq yang beriman kepada Allah dan melakukan amal soleh. Mata orang beriman tidak akan tenang melihat anak mereka melakukan amalan yang membawa mereka ke neraka.

7. Bererti, yang dimaksudkan dengan sejuk mata memandang itu adalah anak-anak yang enak dilihat melakukan ketaatan. Orang Mukmin bukan sekadar senang melihat anak mereka berjaya merangkul dunia, menjadi seorang yang bijak atau jutawan yang berjaya sahaja.

8. Orang beriman hanya akan tenang melihat anaknya menjadi anak yang soleh. Biar anak mereka tidak mewah/kaya, asalkan mampu menjadi anak yang soleh. Doa anak yang soleh tidak boleh dibeli dengan dunia.

Semoga Allah mengurniakan kita anak-anak yang soleh, yang menyenangkan pandangan mata dan hati.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!