Julai 21, 2019

Opah cetus fenomena drama kekeluargaan

Dia seorang tua

Pengasih dan penyayang
Tak pernah hidup duka
Bersama keluarganya
Ini kisah anaknya

Empat orang semuanya
Seorang tiada punya
Yang tidak pernah berkeluarga
Dalam suasana keluarganya

Dia serba tak kena
Namun hatinya tetap riang
Walaupun hidupnya seorang
Di antara cucunya

Tiga yang amat dikenali
Mengikut ragam dunia
Muda mudi 
Inilah kisah keluarga

Opah dengan anak cucunya
Tak pernah hidup sunyi
Suasana
Suka duka.



Dalam kejayaan sesebuah drama bukan sahaja terletak pada jalan cerita yang menarik dan barisan pelakon yang hebat. Runut bunyi atau OST drama dianggap kunci utama yang memainkan peranan penting membuatkan nama drama itu terus melekat di hati dan minda penonton.
Lagu tema Drama Opah nyanyian Bob Khalil yang popular pada era-80 itu antara nostalgia drama yang menjadi fenomena hebat di kaca te­levisyen suatu masa dahulu dipilih sebagai runut bunyi menghiasi setiap episod dalam slot Drama Minggu Ini terbitan Radio Te­levisyen Malaysia (RTM) yang disiarkan secara bersiri.
Drama Opah yang popular itu ‘dekat’ dengan jiwa masyarakat yang mengekalkan nilai-nilai kekeluargaan yang menjadi tunjang utama drama itu menjadi kegemaran penonton RTM TV1.
Pada awal drama Opah di­siarkan dalam format hitam putih kemudiannya pada 1984. drama ini dan drama-drama terbitan RTM bertukar ke format warna.
Watak seperti Opah Kalsom lakonan oleh Allahyarham Zaiton Hussin diingati dan bertakhta di hati peminat. Segala petua dan teladan yang diketengahkan melalui program terbitan RTM itu masih diingati oleh peminatnya.
Selain itu, watak Jenab lakonan Khatijah Abu Hassan dan Joyah (Norlia Ghani) turut mencuit perhatian penonton termasuk watak-watak hebat lakonan yang digemari ramai seperti Mohamad Abdullah (Pak Busu), Zami Ismail, Razali Buyong (Osman), Normala Omar (Tipah), Norazean Salehan, Aziz M. Osman, Nor Nasriq Dadameah, Mustaffa Noor (Amar), Yasmin Yusuf.
Drama Opah telah ditamatkan pada penghujung 1980-an, namun begitu pada pertengahan tahun 1990-an drama bersiri ini muncul kembali tetapi dengan ramai watak asal telah diambil alih oleh pelakon lain.
Bagaimanapun selepas 12 tahun, Drama Opah kembali dengan nafas baharu. Dan bagi meneruskan drama berbentuk kekeluargaan ini tentunya ada kelainan yang diberikan Opah untuk musim terbarunya.
Akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan Mega bertarikh 12 Mac 2012 memuatkan berita bertajuk ‘Joyah‘ muncul kembali dalam Opah? melaporkan, drama bersiri terbaru ini akan diterajui generasi kedua opah, iaitu anak-anaknya yang pernah menjadi pendukung utama drama bersiri ini.
Masih mengekalkan tajuk Opah, watak opah kali ini akan dipegang anak pertama keluarga tersebut iaitu Jenab yang akan dilakonkan Fadilah Mansor.
Menurut, pengarahnya, Zamani Ibrahim, perancangan untuk meneruskan siri Opah ini mengambil masa selama dua tahun sebelum mereka semua bersedia untuk menerbitkan semula drama Opah dengan versi yang lebih berbeza.
“Kami masih mengekalkan nilai-nilai masyarakat yang menjadi tunjang utama drama Opah sejak dahulu lagi.
“Bagaimanapun, kami faham watak Opah yang pernah dimainkan pelakon Allahyarham Zaiton Hussien terlalu kuat dalam kalangan masyarakat pada ketika itu, dan disebabkan itu juga kami mengambil keputusan untuk meneruskan drama ini dengan kehadiran generasi kedua sahaja,”katanya.
Laporan itu memetik, bakal ditayangkan pada awal September 2012, drama yang akan di­siarkan selama 13 episod ini bakal dimulakan dengan memper­kenalkan watak-watak baharu.
Menurut Zamani juga di dalam memberi sedikit kekuatan kepada drama juga pihaknya berusaha untuk mendapatkan semula pelakon asal drama Opah iaitu Norlia Ghani yang meme­gang watak sebagai Joyah.
“Pada musim pertama ini kami lebih menumpukan kepada pengenalan kepada setiap watak. Dan antara pelakon yang akan menjayakan drama bersiri opah musim terbaru ini adalah Hairie Othman, Shaharuddin Thamby, Aida Khalida dan Zizan Nin, ”katanya.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan

1 ulasan:

  1. Ni mmg drama feveret time kecik2, saya suka watak opah dan watak joyah tu ...haha, potpetpotpet mulut si joyah ...watak amar dan wife diabsi yasmin tu pun saya suka ...

    BalasPadam

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!