Guru Dan Perkerjaan Yang Diberkati
1. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh guru hari ini. Silap langkah, perlakuan mereka dirakam dan diviralkan. Dalam Surah Maryam, Allah menceritakan bagaimana Nabi Isa disifatkan sebagai seorang Nabi yang sentiasa diberkati Allah. Ini difahami dari dialog yang direkodkan dalam al-Quran:
وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ
“(Kata Nabi Isa) Dan Allah menjadikan aku sentiasa diberkati di mana sahaja aku berada.”
2. Melalui ayat ini, Allah menggambarkan kepada kita bagaimana Nabi Isa ini diangkat sebagai seorang lelaki yang sentiasa diberkati di mana sahaja beliau berada. Timbul persoalan di sini, apa yang membuatkan beliau sentiasa diberkati Allah setiap masa?
3. Ketika menafsirkan ayat ini, Mujahid ibn Jabr menjelaskan bahawa Nabi Isa sentiasa diberkati kerana sifatnya yang sentiasa mengajar manusia kepada kebaikan. Sifat manusia yang sentiasa memberikan manfaat kepada orang lain akan menjadikan mereka sentiasa diberkati. Mereka sentiasa dihormati, dikurniakan rezeki yang tidak disangka bahkan disayangi sekalian makhluk.
4. Atas dasar itu, al-Imam Ibn al-Qayyim menyimpulkan satu formula penting tentang erti keberkatan. Kata beliau:
فإن بركة الرجل تعليمه للخير حيث حلَّ
“Sesungguhnya keberkatan seorang lelaki itu adalah pada sifatnya yang mendidik manusia kepada kebaikan di mana sahaja dia berada.” Bererti, mengajar manusia kebaikan adalah satu profession yang sangat diberkati.
5. Bahkan mereka yang mendidik manusia kepada kebaikan akan menerima pahala seperti orang yang melakukan kebaikan tersebut, sekalipun mereka sekadar mengajarnya sahaja. Sabda Rasulullah:
من دل على خير فله مثل أجر فاعله
“Barangsiapa yang mengajarkan manusia kebaikan, maka dia akan menerima pahala sepertimana orang yang melakukan kebaikan tersebut (kesan dari didikannya tadi).”
Moga Allah menjadikan kita dikalangan mereka yang sentiasa diberkati Allah. Semoga Allah merahmati guru kita semua yang mendidik kami sehingga sejak dari kecil.
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!