Pages

Pengakuan

Julai 06, 2019

Apa Kaitan Solat dengan Isu Perceraian?

Apa Kaitan Solat dengan Isu Perceraian?

1. Dalam al-Quran, perbahasan berhubung isu talak dan perceraian dibincangkan di dalam Surah al-Baqarah. Anehnya, dicelah perbahasan berkenaan hukum perceraian ini, Allah selitkan penegasan tentang kepentingan menjaga solat. Timbul persoalan di sini, mengapa Allah sebut perihal solat di celah perbahasan isu perceraian?

2. Al-Imam Burhanuddin al-Biqa’i menjelaskan satu pandangan yang menarik. Beliau menggambarkan bagaimana isu perceraian ini adalah satu masalah yang sangat kompleks serta memenatkan jiwa dan akal manusia. Lalu Allah menawarkan solusi dalam menghadapi kemelut ini dengan arahan supaya menjaga solat. Kata al-Biqa’i:

أمور الطلاق دائماً تشغل الإنسان، وتجعله مهموماً في النهار والليل، فلذلك قال تعالى : " حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ

“Urusan perceraian ini sentiasa memenatkan manusia (jiwa dan fizikalnya), perceraian menjadikan manusia resah siang dan malam lalu Allah membimbing manusia (dengan arahan menghadapi situasi runcing ini) dengan mendirikan solat” (al-Biqa’i, Nuzum al-Durar).

3. Pandangan yang hampir sama diutarakan oleh Dr. Khalid al-Sabt. Beliau menjelaskan bahawa permasalahan rumah tangga seharusnya ditangani dengan memohon bantuan dari Allah melalui solat. Kata beliau:

إنه أورد ذكر الصلاة بين هذه الأحكام؛ ليدل على أن الاستعانة بالصلاة سبب للخروج من المشكلات التي تقع بين الناس

“Sesungguhnya Allah menyebutkan tentang arahan mendirikan solat dicelah perbincangan tentang hukum (perceraian) adalah bagi menunjukkan keperluan memohon bantuan dengan solat. Ia adalah jalan keluar kepada masalah yang dilalui oleh manusia.”

4. Pandangan yang lebih kritis diutarakan oleh Mufti Wilayah yang menyebutkan bahawa salah satu punca keretakan rumah tangga adalah kerana kegagalan keluarga untuk mendirikan solat jemaah bersama. Solat berjemaah bersama barangkali boleh membantu dalam membina hubungan kekeluargaan yang baik. Sekiranya kita jaga hubungan dengan Allah, mudah-mudahan Allah memelihara hubungan kita sesama manusia.

Penjelasan Mufti Wilayah ini boleh di dapati di Sakeena TV:
https://www.facebook.com/sakeenaTV/videos/1318383098318010/?t=1

5. Sebahagian penulis pula mengaitkan isu perceraian dengan kegagalan melaksanakan perintah solat. Mereka menyandarkan pandangan mereka pada hadith al-Bukhari yang menyebutkan:

الَّذِي تَفُوتُهُ صَلاَةُ العَصْرِ، كَأَنَّمَا وُتِرَ أَهْلَهُ وَمَالَهُ

“Mereka yang meninggalkan solat asar, seumpama mereka terputus hubungan dengan ahli keluarga dan harta mereka.” (HR al-Bukhari)

6. Lihatlah betapa pentingnya peranan solat dalam kehidupan kekeluargaan manusia. Mudah-mudahan, Allah sentiasa membantu mereka yang mendirikan solat untuk mereka menghadapi segala kemelut kehidupan dunia.

Semoga Allah sentiasa membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!