Februari 04, 2021

4 FEBRUARI 2021 :HARI INI HARI KANSER SEDUNIA



4 FEBRUARI 2021 :HARI INI HARI KANSER SEDUNIA : Hari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari dengan tujuan mengajak orang ramai untuk menyokong dan sama-sama mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit kanser.


Kanser merupakan salah satu penyakit kronik yang ditakuti dan boleh memberi impak negatif yang tinggi kepada pesakit, keluarga dan negara. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan jumlah kes kanser pada tahun 2012-2016 meningkat sebanyak 11% berbanding tahun 2007-2011. 


Secara keseluruhan, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia adalah kanser payudara (19%) diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar (13.5%) dan kanser paru-paru (9.8%). Dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku (16.9%) dan dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9%).


Pada tahun 2018, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 1 daripada 6 kematian di dunia adalah disebabkan oleh kanser. Menurut Health Facts terbitan KKM, pada tahun 2019, kanser adalah penyebab kematian utama di hospital-hospital swasta (33.19%) dan keempat utama di hospital kerajaan (12.18%).


Satu pertiga kematian kanser adalah dikaitkan dengan amalan berisiko iaitu; berat badan yang berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok serta pengambilan alkohol. Pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan menyumbang kepada 22% kematian akibat kanser.


Secara amnya, faktor-faktor risiko kanser adalah serupa dengan faktor risiko penyakit kronik yang lain. Sebagai langkah pencegahan, KKM sentiasa komited dalam menggalakkan orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat. Di samping itu, KKM juga menyediakan perkhidmatan immunisasi Human Papilloma Virus (HPV) untuk murid sekolah perempuan di tingkatan satu bagi mencegah kanser serviks dan immunisasi Hepatitis B kepada bayi bagi mencegah kanser hati.


Pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh. Walau bagaimanapun, peratus keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat (stage III dan IV) meningkat dari 58.7% pada 2001-2011 kepada 63.7% pada 2012-2016.  Situasi ini adalah membimbangkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya.


Bagi mengelakkan kanser dikesan lewat dan peluang untuk sembuh yang lebih baik, orang ramai diminta untuk melakukan ujian saringan serta dinasihatkan supaya mengenali tanda dan gejala awal kanser. KKM menyediakan perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal, serviks dan mulut di seluruh negara secara percuma. Perkhidmatan saringan kanser juga boleh didapati di fasiliti-fasiliti swasta dengan kadar bayaran tertentu.


Bagi pesakit yang telah disahkan menghidap kanser, mereka perlu mendapatkan rawatan dengan segera. KKM amat prihatin dengan kesihatan dan kesejahteraan pesakit-pesakit kanser terutamanya semasa pandemik COVID-19. Ini kerana pesakit kanser mempunyai sistem daya tahan yang rendah berbanding dengan orang lain dan lebih berisiko untuk mendapat jangkitan yang serius. Oleh itu, KKM telah mengambil langkah-langkah kawalan yang ketat di semua fasiliti kesihatan bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaksanakan semasa temujanji dan rawatan pesakit kanser. KKM juga memastikan semua pesakit kanser menerima rawatan sewajarnya mengikut jadual yang ditetapkan.

Info,tips kesihatan, HARI KANSER SEDUNIA , HARI KANSER SEDUNIA 2021, TEMA HARI KANSER SEDUNIA 2021, LANGKAH PENCEGAHAN KANSER, TANDA-TANDA MENGHIDAP KANSER


Hari Kanser Sedunia tahun ini mengekalkan tema I Am and I Will (Saya Akan dan Saya Boleh) yang mengajak semua individu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal kanser di negara ini. Pesanan KKM kepada semua:


1. Jadikan pencegahan kanser sebagai salah satu agenda utama dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat;

2. Segera menemui doktor bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut sekiranya mempunyai tanda dan gejala kanser;

3. Jalani ujian saringan kanser yang telah disediakan; dan

4. Dapatkan rawatan yang terbukti berkesan di hospital sekiranya disahkan menghidap kanser dan sentiasa patuh dengan jadual rawatan yang diberikan.


Pencegahan dan pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa. Mainkan peranan anda untuk memilih yang terbaik.

Kredit

1 ulasan:

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!