Pages

Februari 19, 2021

Kelulusan i-Sinar mulai 8 Mac



Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa ahli di bawah umur 55 tahun yang telah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac ini.

KWSP dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa kelulusan itu termasuk bagi mana-mana permohonan baharu yang diterima selepas tarikh tersebut, tertakluk kepada baki yang sedia ada dalam akaun satu ahli berkenaan.

“KWSP menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli ketika pembaharuan ini dilaksanakan kerana pemansuhan kriteria i-Sinar yang diumumkan pada 11 Februari 2021 melibatkan perubahan besar kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online,” katanya.

Menurutnya, jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal seperti yang ditetapkan sebelum ini.

“Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (akaun satu), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

“Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (akaun satu), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan akaun satu mereka.

“Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000,” menurut kenyataan itu.

KWSP turut memaklumkan bahawa pemansuhan kriteria i-Sinar juga bermakna pembayaran interim RM1,000 yang dilaksanakan pada bulan lepas akan dihentikan.

Pada masa sama, KWSP menasihatkan ahlinya yang belum pernah membuat permohonan i-Sinar sebelum ini dan mereka yang berhasrat untuk memohon pada tempoh peralihan supaya menangguhkan permohonan sehingga i-Sinar yang telah dikemaskini dilancarkan pada 8 Mac ini.

“Ini akan memendekkan masa yang diperlukan untuk proses permohonan mereka dan mempercepatkan pembayaran wang i-Sinar.

“Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03-8922 4848. Untuk pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun melayari laman web www.kwsp.gov.my,” katanya.

Katanya, KWSP turut memaklumkan bahawa sebanyak RM18.5 bilion telah dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonan itu dibuka pada bulan Disember 2020 yang mana telah memanfaatkan sebanyak 3.3 juta ahli.

Sinarharian

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!