Pages

Februari 18, 2021

SOP ketat cari Juara Lagu

Mengurangkan kru dan sistem kerja berkala menjadi antara kaedah diperkenalkan Primeworks Studios bagi memastikan Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 yang disiarkan secara langsung tanpa penonton pada 14 Mac depan, selamat.

Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid, berkata jadual tugasan kru akan disusun bagi mengelak kerja dilakukan secara berkelompok.

"Semua tindakan diambil mesti menitikberatkan keselamatan dan kesihatan petugas, vendor, kontraktor dan artis.

"Kami juga akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan COVID-19 dalam kalangan kita," katanya kepada BH Online.

Kelmarin, TV3 mengumumkan AJL35 disiarkan secara langsung tanpa penonton dari Auditorium MBSA, Shah Alam, pada 14 Mac depan, mulai jam 9 malam selepas ditunda, bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (RTMP) dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh dilaporkan berkata, pihaknya bersedia menganjurkan AJL35 dalam norma baharu.

Khairul Anwar berkata, TV3 memanfaatkan kebenaran dan kelonggaran diberi Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk persembahan secara langsung, berkuatkuasa sejak 8 Januari lalu.

Bagaimanapun, tarikh berkenaan bukanlah muktamad kerana perlu akur dengan ketetapan yang bakal diumumkan MKN dari masa ke semasa berkaitan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nurhul Huda berkata, persiapan menganjurkan AJL35 kembali rancak selepas keputusan dibuat untuk meneruskan projek itu.

"Sejak awal tahun, kami sudah memikirkan konsep, membuat penggambaran membabitkan jenama dan iklan serta berbincang dengan finalis mengenai persembahan yang mahu ditampilkan," katanya.

Nurhul Huda berkata, menyedari tarikh 14 Mac belum dianggap muktamad, pihaknya perlu memberi keutamaan kepada tugas yang perlu disiapkan.

"Jika PKP dilanjutkan, kami akan mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan dan arahan semasa MKN," katanya,

Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid.
Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid.

Tambahnya, SOP ketat akan dilaksanakan termasuk dalam aspek sanitasi premis dan peralatan.

"Kami juga akan mewajibkan ujian saringan COVID-19 kepada semua kru dan artis sebelum acara kemuncak berlangsung.

"Jika ada individu didapati positif, mereka perlu dikuarantin. Andai ada finalis didapati dijangkiti wabak berkenaan, mereka dikehendaki mencari pengganti," katanya.

Ditanya reaksi finalis terhadap penundaan dan tarikh baharu AJL35, Nurhul Huda berkata, semua artis faham situasi dialami.

"Mereka prihatin dan peka isu semasa. Sejak pengumuman AJL35 ditunda, finalis tidak merungut sebaliknya bersifat terbuka dan reda dengan keadaan menimpa negara.

"Bukan sahaja artis, penari latar dan pemuzik juga faham situasi dihadapi. Kita juga tahu pendapatan mereka terjejas," katanya.

Mengenai ketiadaan penonton pada malam kemuncak, Nurhul Huda berkata, perkara itu tidak akan menjejaskan kualiti dan kredibiliti acara.

"Saya yakin pengacara iaitu Sherry Alhadad, Haziq Hussni dan Awal Ashaari serta persembahan artis mampu memeriahkan suasana.

"Saya yakin semua finalis akan memberi persembahan terbaik demi peminat setia," katanya.

Ziana Zain akan muncul dalam persembahan interlude bertemakan Projek Band.
Ziana Zain akan muncul dalam persembahan interlude bertemakan Projek Band.

Nurhul Huda berkata, antara dirancang adalah dendangan lagu istimewa berjudul Baik Semula di pentas AJL35.

"Lagu itu bakal didendangkan Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju.

"Single ini dicipta khas untuk AJL35 oleh Faizal, Mage, Mike Chan, Karim Karam dan Tuju.

"Kita juga akan menampilkan persembahan interlude bertemakan Projek Band. Segmen ini dijayakan Hujan, Hazama & The Penglipur Lara dan Akim & The Majistret," katanya.

Tirai AJL35 akan dibuka Ratu Rock Ella, Naim Daniel dan Yonnyboii. Segmen Projek Band dihangatkan lagi dengan kemunculan penyanyi vokal mantap, Ziana Zain, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah.

Bharian

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!