Sekumpulan penggodam menggelarkan diri mereka sebagai ‘Anonymous Malaysia’ memberi amaran kedua akan melancarkan serangan siber ke atas laman web kerajaan dan aset dalam talian menerusi #OpsWakeUp21.
Dalam video berdurasi 3 minit 17 saat, mereka memberi amaran sejak 2015, penipu terus menipu rakyat melalui e-mel, panggilan telefon, media sosial dan WhatsApp, dengan menawarkan wang kepada rakyat serta mengugut mereka seakan-akan mereka melakukan jenayah.
Katanya, puncanya disebabkan penyedia perkhidmatan kerajaan dan swasta yang mengandungi data peribadi rakyat digodam serta dibocorkan sebelum data itu kemudiannya dijual kepada pihak ketiga.
“Kami tahu siapa anda. Kami prihatin terhadap negara kami. Ada ahli politik dan pegawai kerajaan yang mengambil rasuah dan membiarkan ini berlaku,” dakwa rakaman suara itu.
Dalam video itu, Anonymous Malaysia menegaskan jika tiada tindakan diambil, netizen akan melakukannya.
“Kami tidak maafkan, kami tidak lupa, nantikan kami,” jelasnya.
Selasa lalu, kumpulan itu dilaporkan berikrar akan melancarkan serangan siber ke atas laman web kerajaan dan aset dalam talian melalui #OpsWakeUp21.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 atau 5 Akta Jenayah Komputer 1997 sekiranya perkara itu berlaku.
“Kita akan memantau sebarang aktiviti daripada mana-mana individu tidak bertanggungjawab yang cuba menggodam laman web kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!