Hebatnya sabar, 90 kali disebut dalam al-Quran! Allah sediakan mahligai bawahnya mengalir air sungai
SABAR merupakan perkataan yang sering kita dengar dalam kehidupan seharian, akan tetapi tahukah kita bahawa ia adalah perkataan yang mudah diungkap tetapi susah untuk dilaksanakan melainkan mereka yang benar-benar mempraktikkan nilai kesabaran dalam diri masing-masing.
Sabar membawa maksud menahan atau meninggalkan. Setiap orang tidak terlepas daripada nikmat dan cubaan dalam kehidupan mereka.
Maka kesabaran dalam sesuatu perkara perlulah dititikberatkan supaya pekerjaan yang dilakukan mendapat hasil yang diingini.
Mana mungkin seseorang yang ingin berjaya dalam perniagaan, kehidupan rumah tangga mahupun pelajaran tidak akan mendapat hasil yang baik jika tidak mempunyai sifat sabar.
Sifat sabar merupakan satu sifat yang cukup hebat sehinggakan Allah menyebutnya dalam Al-Quran dalam banyak tempat, tetapi yang paling hebat apabila Allah menyebut didalam Surah Al-Baqarah ayat 153 yang maksudnya; Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.
Ya... Sabar merupakan sifat yang akan mendekatkan diri kita dengan Allah. Sabar juga merupakan kekuatan bagi jiwa orang mukmin.
Terdapat beberapa jenis sabar yang perlu kita ambil perhatian dalam menjadikan kita seorang Muslim yang baik.
Sabda baginda Rasulullah di dalam satu hadis maksudnya; Iman itu dua bahagian; satu bahagian sabar dan satu bahagian lagi adalah syukur - [HR Baihaqi:9264].
Sungguh besar sabar itu dalam Islam sehingga di dalam Al-Quran disebut perkataan sabar sebanyak 90 kali.
Jenis kesabaran
1. Sabar dalam ketaatan kepada Allah
Ketaatan kepada Allah merupakan perkara yang wajib diikuti oleh semua manusia. Ia merupakan perintah Allah kepada kita. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 21, ertinya: Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.
Sabar dalam mentaati Allah merupakan sabar yang penuh dengan dugaan, ini kerana sudah menjadi tabiat manusia yang tidak suka dikongkong dengan mana-mana peraturan kehidupan. Manusia suka akan kebebasan dan suka kepada benda-benda yang menghiburkan.
Sabar dalam mentaati Allah lebih sempurna daripada sabar menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat. Sesungguhnya kebaikan dalam melakukan ketaatan lebih dituntut oleh syarak daripada kebaikan meninggalkan maksiat.
Ini kerana manusia yang mentaati Allah bersungguh-sungguh dengan sendirinya akan menjauhkan diri daripada maksiat kepada Allah.
Firman Allah didalam Surah Maryam ayat yang ke 65, ertinya: Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, oleh itu, sembahlah Dia (Allah) dan bersabarlah dengan tekun dan tetap dalam beribadah kepadaNya.
Sabar dalam ketaatan kepada Allah pula kata ulama terbahagi kepada tiga:
I. Sabar sebelum daripada melakukan ketaatan dengan membetulkan niat yang ikhlas kerana Allah dan menjauhi daripada unsur-unsur riyak.
Firman Allah didalam Surah Al-Hud ayat yang ke 11, ertinya; Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, oleh itu, sembahlah Dia (Allah) dan bersabarlah dengan tekun dan tetap dalam beribadah kepadaNya.
SURAH MARYAM, AYAT KE 65
Dalam ayat ini Allah mendahulukan kesabaran daripada amalan itu sendiri yang membawa erti setiap amalan yang hendak dikerjakan. Maka kita perlulah bermula daripada kesabaran dengan membetulkan niat yang ikhlas supaya setiap apa yang dibuat akan mendapat keredaan Allah.
II. Sabar dalam keadaan sedang mengerjakan sesuatu ketaatan supaya tidak lalai, tidak malas dan tidak khusyuk. Maka kita akan melaksanakan segala tuntutan seperti mana yang diajarkan dan diterangkan oleh baginda Rasulullah.
Firman Allah didalam Surah Al-Ankabut ayat yang ke 58 dan 59, ertinya; (ayat 58) Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka kekal didalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh. (59) (iaitu) mereka yang sabar dan mereka yang berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.
III. Sabar selepas daripada beramal: Iaitu janganlah melihat diri sendiri dengan pandangan yang ujub (bangga dengan diri sendiri) supaya setiap amalan yang dikerjakan tidak menjadi sia-sia.
2. Sabar dalam meninggalkan maksiat dan perkara-perkara haram
Sesungguhnya Allah menjadikan sesuatu sebagai ujian untuk menilai keimanan seseorang itu terhadapNya. Firman Allah didalam Surah Al-Anbiya’ ayat yang ke 35, ertinya; Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Manusia memerlukan kesabaran dalam menjalani kehidupan yang sementara di dunia dan sabar daripada melayan nafsu yang membinasakan.
Allah menjelaskan kepada kita bahawa setiap apa yang ada pada orang yang tidak beriman dan melakukan maksiat bukan bererti mereka mendapat nikmat, akan tetapi ia adalah satu bala yang mana ramai manusia tidak mengetahuinya.
Kehilangan orang yang dikasihi antara dugaan diberikan Allah namun kita hendaklah bersabar menempuhnya. Gambar hiasan.
Contoh-contoh yang jelas dalam Al-Quran seperti Firaun yang mempunyai kekuasaan dan kekayaan tetapi Allah melaknat akan dia disebabkan ketidakimanan kepada Allah. Begitu juga dengan Qarun yang mempunyai harta yang cukup banyak tetapi harta itu tadi merupakan malapetaka baginya.
3. Sabar dalam sesuatu ujian dan ketentuan Allah yang menyakitkan
Tidak ada seseorang yang terlepas daripada kesakitan badan, kesakitan jiwa, kerugian harta benda dan kehilangan orang yang dikasihi.
Ujian ini datang tidak kira baik atau jahat, mukmin atau kafir tetapi yang membezakannya adalah bagaimana orang mukmin menghadapi setiap musibah itu dengan keredaan dan ketenangan kerana mereka yakin ia adalah ujian Allah untuk menguji hamba-hambanya.
Ia juga perlu dilihat sebagai satu tangga untuk meningkatkan keimanan. Firman Allah didalam Surah Al-Baqarah ayat 155, ertinya; Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.
Setiap ujian manusia itu berbeza diantara satu sama lain maka dengan kita bersabar dan yakin kepada Allah, ia akan menjadikan seorang hamba itu lebih reda menangani setiap masalah yang dihadapi.
Sabda baginda Rasulullah didalam sebuah hadis, ertinya; Daripada Syuhaibin telah berkata, telah bersabda baginda Rasulullah: “Sungguh ajaib urusan orang mukmin, semua urusannya adalah baik, dan tidak ada seperti itu melainkan mukmin sahaja. Jika ditimpa kesenangan ia akan bersyukur, maka itu baik baginya. Jika ditimpa kesusahan pula ia bersabar maka itu baik juga untuknya -[HR Muslim:2999].
***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi almaghribi) ialah Pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia. Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM _mStar
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!