Ogos 10, 2018

Pengantin cilik kini tinggal di hutan

Pengantin cilik kini tinggal di hutan

TIDAK tahan terus dihina dan dipinggirkan masyarakat setempat, peraih getah terpaksa memindahkan isterinya berusia 11 tahun di kawasan kebun getah di Gua Musang.
Dia berkata, isterinya dan ibu bapa mentuanya ditempatkan di sebuah rumah di kawasan pedalaman itu minggu lalu.
“Selepas perkahwinan kami tular, isteri saya bukan sahaja diejek dengan pelbagai panggilan oleh penduduk kampung, malah ada yang sanggup mengambil gambarnya sebelum menyebarkan kepada individu lain melalui aplikasi WhatsApp.
"Tidak tahan melihat mereka diperlakukan sedemikian rupa, saya memindahkan mereka ke kebun getah yang terletak di kawasan pedalaman," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Bapa kepada empat anak berharap selepas ini tiada lagi gangguan dari masyarakat terhadap isteri dan keluarganya.
“Tempat tinggal mereka kini agak jauh di dalam hutan dan hampir setiap hari saya terpaksa berulang-alik untuk menghantar bekalan makanan serta perbelanjaan harian kepadanya.
“Biarkan terpaksa memandu berjam lamanya, pada saya kegembiraan dan keselamatan isteri dan keluarganya adalah yang utama buat masa ini," katanya.
Ditanya mengenai keengganan isterinya belajar di sekolah pondok, lelaki itu berkata, dia akan terus memujuk isteri mudanya itu.
“Saya tidak akan putus asa dan akan terus berdoa supaya satu hari nanti dibukakan pintu hatinya untuk belajar di sekolah pondok memandangkan dia tidak berminat meneruskan pelajaran dalam bidang akademik,” katanya.
Berita perkahwinan peraih getah itu dengan kanak-kanak itu tular di media sosial selepas isteri kedua lelaki itu memuat naik gambar perkahwinan mereka di laman Facebook pada bulan Jun lalu.
Mereka berkahwin di sebuah masjid di Kampung Padang Nyor di Munduk, Thailand pada 18 Jun.
Berikutan itu, peraih getah didenda sebanyak RM1,800 atas dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran di Mahkamah Rendah Syariah di Gua Musang pada bulan lalu.
Bulan lalu juga isteri mudanya dipanggil oleh Majlis Agama Islam Narathiwat untuk diambil keterangannya berhubung perkahwinan itu.

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!