
Suatu Hari Kita Akan Nampak Diri Kita Dalam Orang Lain
Semakin lama kita bekerja, akan sampai satu ketika… kita terpandang seorang staf baru. Cara dia jalan. Cara dia tanya soalan. Cara dia tengok komputer, terkial-kial. Dan dalam diam… kita terasa seolah-olah sedang melihat diri kita sendiri, masa kita mula-mula melapor diri dahulu.
Waktu itu kita pun pernah bingung. Banyak benda tak tahu. Tak biasa dengan sistem. Tak kenal siapa-siapa. Dan paling kita harapkan waktu itu adalah satu perkara iaitu penyelia yang baik. Yang tak marah bila kita tanya. Yang tak sindir bila kita silap. Yang sabar terangkan satu-satu benda, walaupun jawapan itu dia dah ulang banyak kali.
Kalau kita dulu bertuah, dapat penyelia yang baik itu rezeki. Tapi hari ini, bila kita pula yang jadi senior, giliran kita pula untuk jadi penyelia yang baik kepada orang baru. Kita tak mahu mereka ulang kesilapan yang pernah kita buat. Kita tak mahu mereka kecewa dengan dunia kerja hanya sebab mereka tidak pernah dipimpin dengan betul.
Dan kalau kita dulu tak bernasib baik — waktu kita tercari-cari, jangan pula kita ulang sejarah itu pada orang lain. Biarlah kita jadi permulaan baru untuk mereka. Yang menyambut dengan senyuman, bukan sindiran. Yang membimbing dengan sabar, bukan meninggi suara.
Sebab orang yang bagus tak lahir dengan latihan semata-mata. Orang yang bagus lahir bila dia bertemu orang yang baik.







0 Ulasan