Oktober 05, 2023

AMANZ: IPC Merupakan Pusat Membeli-belah Pertama Menawarkan Pengecasan Motosikal Elektrik

Semakin hari semakin banyak kenderaan EV berada di jalanraya dan pengecasan merupakan satu perkara yang sering menyebabkan pemilik EV berasa gundah-gulana kerana dilema jarak perjalanan kenderaan mereka, dan juga kesediaan pengecas untuk digunakan. Banyak pusat membeli-belah telah menawarkan pengecasan untuk kenderaan elektrik, namun tidak banyak yang membenarkan motosikal elektrik dicas, kerana tempat parkir berbeza.

IPC yang dahulunya juga dikenali sebagai Ikano Power Center telah beroperasi sejak tahun 2003 dengan penekanan kearah kelestarian. Hari ini mereka memperkenalkan pengecasan untuk kenderaan elektrik, termasuklah untuk motorsikal elektrik dan juga parkir khas untuk pengguna OKU yang memiliki kenderaan elektrik.

Bagi mengaktifkan pengecas AC 11kW Type 2, pengguna perlu memuat-turun aplikasi IPC dan kadar pengecasan adalah RM 7 untuk setiap 30 minit. Pengguna juga boleh menggunakan mata ganjaran yang diperoleh apabila berbelanja di IPC, dengan kadar penebusan 100 mata untuk 30 minit pengecasan. Kelajuan pengecasan adalah bergantung kepada kenderaan anda dan tiada sebarang had masa untuk pengecasan. Bagi pengguna OKU, terdapat pengawal keselamatan yang turut bersedia membantu pengguna untuk keseluruhan proses pengecasan.

Selain itu, pihak IPC juga menyediakan selimut kebakaran yang khas untuk kenderaan elektrik. Selimut ini berfungsi untuk membendung kebakaran dari lebih marak, dengan cara menghalang kehadiran oksigen dan boleh digunakan berulang kali – sekiranya berlaku sebarang kebakaran melibatkan kenderaan elektrik.

Sekiranya anda memiliki motosikal elektrik, anda boleh masuk ke parkir motor di IPC, dan terus ke lokasi pengecasan yang diletakkan berhampiran dengan kawasan parkir motosikal. Dengan adanya kemudahan yang disediakan pusat membeli-belah IPC ini, diharap lebih banyak lagi lokasi yang turut menyediakan pengecas elektrik untuk kesemua jenis kenderaan.

AMANZ

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!