SEBAGAI manusia, kita tidak boleh lari daripada ujian dan cabaran hidup.
Setiap daripada kita memikul beban emosi masing-masing tetapi tetap teguh berdiri dengan melemparkan senyuman manis dan wajah yang mesra meskipun dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Trauma dan tekanan hidup yang dilalui, sedikit demi sedikit membunuh jiwa dari dalam sehingga menjerat seseorang itu ke dalam masalah gangguan mental sekiranya tidak mendapat bantuan sewajarnya.
Gangguan mental boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira agama, bangsa, umur, pangkat, darjat dan tahap populariti.
Saban hari, banyak kita lihat bintang-bintang terkenal dan juga bergelar jutawan dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental, malah ada antara mereka yang mengakhiri riwayatnya sendiri kerana terlalu tertekan.
Kita melihat mereka gembira dipenuhi dengan kemewahan dan kegemilangan sehingga ramai yang cemburu serta bermimpi mahu hidup seperti selebriti-selebriti itu.
Namun, hakikatnya mereka memendam tekanan yang amat dahsyat. Inilah bahayanya masalah kesihatan mental kerana ia tidak terzahir dengan jelas dan hanya mereka yang melalui sahaja memahami situasi tersebut.
Lebih membimbangkan, masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan selepas pandemik Covid-19.
Perkara tersebut dapat dilihat menerusi statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) telah meningkat lima kali ganda pada 2022 berbanding 2020.
Dalam pada itu, menurut perkongsian di laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara, masalah kesihatan mental kini turut menular kepada kanak-kanak.
Seorang daripada 20 orang kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun di Malaysia kini mengalami gangguan mental.
Kementerian Kesihatan telah merekodkan 424,000 kanak-kanak di Malaysia disahkan mengalami masalah mental.
Boleh dikatakan, pada masa kini hampir setiap orang pernah atau sedang mengalami gejala gangguan kesihatan mental sama ada ringan ataupun sudah berada di tahap yang serius.
Isu berkaitan kesihatan mental banyak dikongsikan dalam media sosial dan ramai juga yang meluahkan situasi yang dialami mereka.
Sedikit sebanyak ia membuka mata masyarakat mengenai gangguan mental. Sekali gus, mengubah persepsi masyarakat terhadap pesakit mental dan lebih ramai berani serta tidak malu untuk mendapatkan bantuan atau rawatan sewajarnya.
Sebenarnya, masalah kesihatan mental merupakan gangguan yang luas sehingga ramai yang keliru, tidak faham dan tidak sedar bahawa mereka sebenarnya memerlukan bantuan.
Terdapat lebih 200 jenis gangguan kesihatan mental dan yang paling biasa terjadi adalah seperti kemurungan, kebimbangan, gangguan tekanan selepas trauma (PTSD), skizofrenia, gangguan personaliti, gangguan personaliti sempadan, bipolar serta gangguan personaliti antisosial.- RELEVAN
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!