Julai 12, 2023

Tips untuk pekerja, ketua atau majikan menangani isu tekanan di tempat kerja.

 Tips untuk pekerja

1) Jika masalah tersebut adalah daripada individu, cuba bersemuka dan cari jalan penyelesaian. Banyak masalah berpunca dari maklumat orang ketiga sehingga menimbulkan salah faham yang berpanjangan.
2) Rancang kerja dan masa dengan baik. Senaraikan tugasan mengikut kepentingan dan tarikh yang perlu disiapkan.
3) Kenal pasti serta ubah jika ada polisi yang tidak fleksibel sehingga menyebabkan stres berlaku.
4) Cuba kenal pasti tahap kemampuan sendiri dan belajar untuk menjadi lebih asertif. Seringkali mereka yang boleh buat kerja dibuli dengan beban kerja yang banyak, sedangkan mereka yang malas tidak diberikan tugasan yang sewajarnya. Ini akan menimbulkan rasa ketidakpuasan hati di kemudian hari.
5) Lakukan kerja secara berpasukan serta bahagikan tugas mengikut kemahiran serta kebolehan.
6) Amalkan work-life balance atau keseimbangan antara kerja dengan kehidupan. Tetapkan matlamat hidup, kepentingan anda serta pisahkan kerja dari rumah. Tinggalkan apa yang berkaitan dengan kerja di tempat kerja.
7) Kenal pasti sistem sokongan anda. Ia boleh jadi pasangan, rakan atau pun ahli keluarga. Mereka adalah tempat untuk anda menyalurkan tekanan yang dialami. Selain daripada meluahkan masalah, kita dapat berkongsi pendapat serta belajar dari pengalaman orang lain.
8) Meningkatkan ketahanan diri dengan mengamalkan cara hidup sihat seperti beriadah, makan makanan seimbang dan tidur secukupnya. Disarankan, senaman dilakukan tiga kali seminggu dengan 30 sehingga 45 minit setiap sesi. Elakkan mengambil terlampau banyak kafein, alkohol atau merokok.
9) Merehatkan minda dengan melakukan amalan seperti senaman pernafasan dan relaksasi otot, meningkatkan ibadah serta berfikir secara positif.
10) Ubah persepsi anda terhadap tekanan. Daripada menyatakan ia sebagai beban, adalah lebih baik jika kita menganggapnya sebagai satu cabaran untuk diri. Belajar menerima kritikan dengan baik.
11) Banyakkan senyum dan ketawa. Lawak jenaka menjadikan diri lebih positif serta ceria.
12) Peruntukkan masa untuk diri sendiri. Contohnya, rehat lima minit selepas 90 minit bekerja. Pergi ke spa atau salun rambut juga adalah masa untuk anda memanjakan diri di waktu lapang.
13) Rancang hobi dan aktiviti. Sekurang-kurangnya satu aktiviti seminggu untuk hobi seperti membaca, berbasikal, mendaki atau berkelah. Jadualkan aktiviti supaya dijalankan secara tetap. Adalah lebih bagus sekiranya dilakukan bersama rakan-rakan atau berkumpulan.
Tips untuk ketua atau majikan
1) Amalkan sikap terbuka serta berbincang denan pekerja jika ada perkara yang tidak memuaskan hati.
2) Berikan teguran secara individu dan tertutup.
3) Berikan insentif kepada mereka yang layak untuk meningkatkan motivasi serta harga diri.
4) Berikan sokongan untuk kemajuan kerjaya.
5) Beri pertimbangan yang sewajarnya untuk perkara yang berkaitan dengan masalah keluarga dan penyakit. Contohnya jika mereka terpaksa mengambil cuti kerana anak sakit atau hadir untuk temujanji ke hospital. Jika masalah keluarga dan penyakit dapat diuruskan dengan baik, maka prestasi kerja juga adalah lebih baik.
6) Tingkatkan pengetahuan tentang kesihatan mental dan pastikan bahawa ada saluran bantuan untuk diberikan kepada individu yang perlu.
7) Jadikan sikap hormat-menghormati serta komunikasi berkesan sebagai budaya di tempat kerja.
AstroAwani

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut