Julai 17, 2023

Kerajaan memberi jaminan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) secepat mungkin


KUALA LUMPUR, 17 Julai- SEGiM akan berfungsi dalam menyelaras dan mengatur industri gig selain melindungi hak pengiat dan mempromosikan persekitaran yang adil. 


Wartawan: Mohan Chinnasamy 

'Yang sahih di Berita RTM'

SEGiM akan berfungsi untuk menangani setiap isu berkaitan dan melahirkan inisiatif yang mampu menjaga kebajikan pengguna, peniaga, vendor, penghantar, pemandu dan penyedia platform, dalam industri gig. – Gambar AFP, 17 Julai, 2023.

Kerajaan jamin tubuh SEGiM secepat mungkin

KERAJAAN memberi jaminan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dengan secepat mungkin, bagi menambah baik perlindungan sosial serta kebajikan penggiat industri berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam merealisasikan perkara itu, Zahid meminta Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengemukakan satu memorandum kepada Kabinet, bagi mendapatkan persetujuan serta kelulusan untuk penubuhan suruhanjaya tersebut.

“Penggiat industri ini atau pekerja tidak formal di Malaysia ini, tidak mendapat sebarang perlindungan melainkan jika mereka mencarum dengan Perkeso…Malah, selama beberapa tahun kegiatan penggiat ekonomi gig ini berjalan di negara ini, namun ketidakpedulian dialami oleh mereka.

“Syarikat penyedia perkhidmatan tidak menganggap mereka sebagai pekerja dan syarikat juga tidak menganggap sebagai majikan kepada penggiat industri ini. Kelompangan sebegini yang memerlukan keprihatinan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Nasional Kerangka Kerjaya Industri Gig, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Zahid turut menyasarkan tarikh penubuhan SEGiM dapat diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pada pembentangan Belanjawan 2024 yang dijadualkan Oktober ini.

“Saya yakin perdana menteri dan Kabinet akan meluluskannya selepas KSM membawa memorandum mengenai penubuhan suruhanjaya ini,” katanya yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah itu.

Dalam ucapannya, Zahid berkata SEGiM, merupakan satu badan yang berfungsi untuk mengatasi setiap isu berkaitan dan melahirkan inisiatif yang mampu menjaga kebajikan pengguna, peniaga, vendor, penghantar, pemandu dan penyedia platform, dalam industri gig.

“Antara peranan SEGiM adalah untuk membantu menyelaraskan dan mengatur industri gig dengan regulasi yang jelas, agar dapat memastikan pematuhan peraturan, melindungi hak penggiat dan mempromosikan persekitaran yang adil dalam industri gig.

“Membantu melindungi pekerja gig dengan menyediakan perlindungan sosial, keselamatan kerja dan hak-hak penggiat gig dan memainkan peranan penting, dalam memajukan kemahiran penggiat gig dengan menyediakan program latihan dan pendidikan khusus, yang akan membantu meningkatkan daya saing penggiat gig,” katanya.

Selain itu, Zahid juga berhasrat untuk meningkatkan peruntukan bagi membangunkan industri gig kepada RM500 juta, menerusi Belanjawan 2024.

“Peruntukan (untuk industri gig) ada RM100 juta menerusi Belanjawan 2023 dan sudah tentunya peruntukan ini munasabah sekiranya ia ditambah, kerana pekerja tidak formal ini telah mencecah dalam 1.12 juta orang.

“Kerajaan Madani ialah kerajaan yang prihatin dan kepedulian terhadap mereka akan dilakukan segera,” katanya. – Bernama, 17 Julai, 2023. _TheMalaysianInside

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut