Julai 15, 2023

JULAI 15 2023: DOA BUAT SEMUA... AAMIIN KAN!


Amalkan 10 Teknik 'Powerful Words' Ini Di Dalam Doa & Alami Sendiri Perubahan Yang Dahsyat


Hari-hari kita baca doa, tapi faham ke tidak doa yang dibaca tu?


Kalau ada di antara kita yang bertanyakan soalan sama, dah tiba masa untuk ubah atau tukar cara kita berdoa. Mungkin kalau sebelum ini kita hafal dan selalu berdoa dalam Bahasa Arab, selepas ini boleh tukarkan doa-doa yang kita baca itu kepada Bahasa Melayu pula.


Bila dah faham doa, pasti lebih seronok untuk memohon permintaan dari Allah. Sekali gus kita juga akan lebih khusyuk dan lebih menghayati doa yang dibacakan.


Namun, bila dah faham doa, apa lagi cara yang boleh kita buat untuk improve-kan doa harian kita?

Begini caranya:


Seorang wanita di Facebook, Nur Aliah Mohd Nor baru-baru ini telah berkongsi tentang teknik powerful words di dalam doa yang patut kita gunakan setiap kali kita menadah tangan kepada Allah.


Perkongsian ini telah mendapat hampir 1,600 shares ketika artikel ini ditulis. Baca di bawah:


Teknik 1: Berilah kekuatan vs lapangkan kesulitan

Sebelum ni kita selalu berdoa,
“Ya Allah berikanlah aku kekuatan”.

Jika doa begini, maka Allah akan sentiasa menguji hambaNya untuk test kekuatan kita. 

Jadi doa yang kita boleh betulkan ialah,
“Ya Allah lapangkan kesulitan apa yang aku hadapi hari ini, Ya Allah keluarkanlah aku dari kesulitan ini, Ya Allah bantulah diriku ini.”

Teknik 2: Berilah vs kurniakanlah

Sebelum ni kita selalu berdoa,
“Ya Allah BERILAH aku..”

Jadi cara doa yang kita boleh betulkan ialah,
“Ya Allah KURNIAKANLAH aku..”

Sebab bila kita sebut BERI, bila-bila masa Allah boleh ambil nikmat tersebut. Jika sebut KURNIA, maka Allah akan kurniakan sesuatu pada kita sampai bila-bila masa, InshaaAllah.

Teknik 3: Dimurahkan rezeki vs dilimpahkan rezeki

Sebelum ni kita selalu berdoa,
“semoga DIMURAHKAN rezeki.” 

Jadi cara doa yang kita boleh amalkan ialah,
“semoga DILIMPAHKAN rezeki yang berpanjangan dan berkat.”

Bila kita sebut “dilimpahkan”, maka benar Allah betul-betul limpahkan rezeki yang sangat banyak, berbanding dengan dimurahkan, sebab bila sebut murah, Allah berikan rezeki yang biasa dan mencukupi sahaja.

Teknik 4: Tambahkanlah


Satu lagi perkataan selain dilimpahkan, boleh juga guna perkataan TAMBAHKANLAH. Dan ini doa yang boleh kita amalkan bersama setiap kali dalam sujud terakhir kita.


“Ya Allah, TAMBAHKANLAH bagiku rezeki yang banyak lagi halal, iman yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang baik, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar.”

Teknik 5: Cara mengaminkan doa

Sebelum ni kita selalu meng’amin’kan doa begini,
“Amin Ya Rabbal Al-Amin.”

Jadi cara yang lebih baik untuk kita amalkan bersama-sama adalah,
“Amin Ya Allah Ya Mujib”.

Sebab maksud Mujib ni ialah memakbulkan. Kita bersungguh-sungguh nak Allah makbulkan doa kita ni, jadi sebut dengan penuh yakin Ya Mujib.

Teknik 6: Doa untuk orang lain

Sebelum ni kita selalu berdoa dengan cara kita ‘mengarahkan’ Allah untuk cepat-cepat keluarkan kita dari masalah-masalah yang kita hadapi.

Jadinya doa yang terbaik kita boleh amalkan sambil mendoakan juga untuk orang lain, adalah dengan cara ini,

“Allah.. Allahu Robbunaa.. Laa Nusyriku Bihii Syai’a”, 

(Allah adalah Rabb kami yang kami tidak pernah sekutukan dengan siapa pun)

Baca 100x, doa ketika beramai-ramai. 

“Allah.. Allahu Rabbi.. Laa Usriku Bihi Syai’a”,

(Allah adalah Rabbku yang aku tidak sekutukan dengan siapa pun)

Baca 100x, doa apabila seorang diri.

Kenapa kita baca doa atau zikir ini adalah sebab doa ini penyingkir kesulitan, kesusahan, kegelisahan, kekhuatiran dan keresahan. 

Sekali gus doa ini boleh menghilangkan beban hutang, beban hati, beban fikiran, serta sangat baik sekali buat bantu sahabat-sahabat kita dalam mencapai hajat-hajat mereka.

Teknik 7: Doa ketika bersedekah

Sebelum ni kalau di masjid nak sedekah tu, mungkin ada yang sedekah dan berlalu pergi macam tu je tanpa berdoa, atau mungkin ada yang berdoa dan terlalu mengharapkan Allah bagi rezeki cepat-cepat kat kita. Allahu.


Jadi InshaaAllah selepas ini, betulkan niat kenapa kita nak sedekah dan berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah,

“Ya Allah aku sedekahkan sejumlah ini kerana untuk digunakan demi mencari redhaMu. Semoga sedikit sumbangan ini dapat menghapuskan segala dosa-dosaku yang membuka segala pintu rezeki yang tidak pernah ku duga.”

Teknik 8: Doa orang yang terlalu sibuk berniaga

Doa di bawah ini adalah khusus untuk orang yang sibuk berniaga siang malam, solat pon kadang hujung waktu dan lebih sedih lagi sampai tak ada masa nak spend time bersama dengan keluarga tersayang.

Faktor jadi macam ini mungkin antara sebabnya doa kita tak spesifik minta kepada Allah. Jadi, InshaaAllah doa di bawah ini dapat membantu anda yang berniaga.

“Ya Allah ilhamkanlah kami dengan perniagaan ini dapat membawa kami dekat denganMu, yang membuatkan kami banyak masa untuk beribadat denganMu, banyak masa bersama suami/isteri, anak-anak kami serta ahli keluarga kami. Ya Rabb, kurniakanlah kami jutawan Islam yang kembali menegakkan ekonomi Islam. Dan Engkau kurniakanlah kami hamba-hambaMu yang menyebarkan dakwah dalam berniaga.”

Teknik 9: Doa mendapatkan zuriat

Sebelum ni kita selalu berdoa,
“Ya Allah kurniakanlah kami zuriat, anak yang soleh dan solehah”.

Dan setiap kali tak dapat pasti kita akan rasa kecewa. Jadi doa yang boleh kita amalkan bersama adalah,

“Ya Allah sekiranya dengan mempunyai zuriat dapat mendekatkan diriku dengan diriMu, maka makbulkanlah Ya Allah, sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan Engkau melihatku, maka kurniakanlah anak yang soleh dan solehah. Kerana Engkau sebaik-baik perancang dan Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu.”

Teknik 10: Zahirkan kesyukuran sebelum membuat permintaan


Paling penting sekali adalah tips yang terakhir ini, kita dah berdoa bersungguh-sungguh ni dan dah tukar cara berdoa kita. Namun kita terlupa, untuk bersyukur kepada Allah swt terlebih dahulu.


Sebab barangsiapa yang bersyukur, Allah akan tambahkan lagi nikmat buat dirinya. Waktu terbaik untuk kita ucapkan kesyukuran kita adalah setiap pagi bangun je dari tidur dan juga waktu malam sebelum tidur, buat terapi kesyukuran iaitu 7 rasa kesyukuran kita kepada Allah swt. Contohnya begini,

“Syukur Alhamdulillah terima kasih Ya Allah..
aku bersyukur masih lagi bernafas pada pagi ini, aku bersyukur Engkau kurniakanku kesihatan yang baik, aku bersyukur Engkau kurniakanku rezeki yang melimpah ruah buat diriku..”

Nampak, kan? Sepuluh teknik di atas ini, hanya dengan tukar sikit je ayat doa dan cara kita berdoa, kesannya sangat dahsyat.

Saya yakin dan percaya dengan izin Allah, selepas ini anda akan menjadi orang yang lebih tenang dan bahagia apabila anda sedang berdoa. Dan semoga kita menjadi seorang yang menjemput rezeki Allah.

0 comments:

Catat Ulasan

Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Pengikut