UJIAN itu sudah pasti bagi setiap manusia di atas muka bumi ini. Cuma yang berbeza jenis dan kadar ujian itu kecil atau besar bersesuaian dengan penerimanya. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup, ketakutan musuh, hilang harta, mati, sakit dan lain-lain.
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 155)
Bagi orang yang beriman ujian merupakan syarat kebenaran iman seseorang. Orang lama selalu berkata “ambik kapak belahlah dada” cinta manusia pun ada syarat ujian, apatah lagi cinta kepada Tuhan manusia yang lebih qudus.
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
Maksudnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan?” (Al-Ankabut: 2)
Hasil daripada ujian itu akan membuktikan akan kebenaran iman seseorang kepada Allah. Jangan ditanya tentang ujian yang datang tapi wajib ditanya kenapa tidak dapat menjawab ujian. Allah berikan hamba-Nya dengan kemampuan menerima ujian di atas iman masing-masing. Allah tidak berlaku zalim kepada hamba-Nya dan Dia tahu bahawa hamba-Nya mampu lulus dengan ujian tersebut.
لَا يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلَّا وُسْعَهَا ۗ
Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. (Al-Baqarah: 286)
Cuba kita lihat perjalanan orang-orang yang beriman sebelum daripada kita yang telah Allah uji mereka dengan ujian yang sangat berat jika nak dibandingkan dengan kita.
وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللّٰهُ الَّذِيْنَ صَدَقُوْا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكٰذِبِيْنَ
Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 3)
Maka Allah telah menguji orang-orang yg beriman sebelum daripada kita sebagai proses saringan keimanan mereka, lalu kita yang mengaku beriman hari ini juga wajib melalui proses tersebut.
Umat Islam tidak boleh rasa lemah dan putus asa tatkala menerima ujian dalam kehidupan. Jauh sekali menyalahkan takdir Ilahi. Yakinlah, setiap ujian itu akan hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan berikhtiar menyelesaikannya.
Dari Mush’ab bin Sa’id, seorang tabi’in, dari ayahnya, ia berkata (maksud): “Wahai Rasulullah, manusia manakah yang paling berat ujiannya? Baginda SAW bersabda: “Para nabi, kemudian yang semisal dengannya. Seseorang akan diuji sesuai dengan keadaan agamanya. Apabila agamanya bergitu kuat (kukuh), maka semakin berat pula ujiannya. Apabila agamanya lemah, maka ia akan diuji sesuai dengan kualiti agamanya. Seorang hamba akan sentiasa mendapatkan cubaan sehingga dia berjalan di muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Kesimpulan
Setiap dari manusia akan diuji, itu pasti. Namun, hasil daripada ujian itu adalah yang semakin mendekatkan diri kita kepada Allah atau yang semakin menjauhkan.
Itulah yang perlu dilalui bagi melihat sama ada darjat dan keimanan seseorang itu akan bertambah mahupun tidak.
0 comments:
Catat Ulasan
Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri!!!
All comments are your own right and responsibility.!!!
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.